Banjir, tanah runtuh ragut lebih 50 nyawa di Bangladesh

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENDUDUK meredah air banjir selepas hujan monsun lebat di Chattogram pada 12 Julai 2026. Banjir kilat dan tanah runtuh yang berpunca daripada hujan monsun telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang di Bangladesh dalam tempoh seminggu lalu, menurut pegawai pada 12 Julai, manakala puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka. Foto AFP

DHAKA: Sekurang-kurangnya 51 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda tenggara Bangladesh sejak minggu lepas, menurut kerajaan semalam. 

Kawasan di tujuh daripada 64 daerah pentadbiran Bangladesh ditenggelami air apabila hujan lebat melanda rantau itu sejak hari ini, menjejaskan lebih sejuta penduduk, dengan ramai masih terputus hubungan, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Menurut kerajaan, sekurang-kurangnya 28 orang maut di daerah Cox’s Bazar, yang kebanyakannya etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian sesak.

Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan berkata banjir serta tanah runtuh meragut 13 nyawa di Chattogram, enam di Bandarban, tiga di Rangamati dan seorang di Moulvibazar.

Tiada kematian dilaporkan di dua lagi daerah yang terjejas banjir, Habiganj dan Khagrachhari.

Kementerian turut melaporkan 39 orang cedera, manakala 38,422 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir menjangkakan hujan berterusan di timur laut Bangladesh serta negeri Assam dan Meghalaya di India hingga pagi Selasa.

Rakaman dari Cox’s Bazar menunjukkan banyak rumah dan kawasan pertanian ditenggelami air, dengan hanya bumbung zink kelihatan.

Penduduk turut dilihat meredah air sedalam paras dada sambil mengangkat barangan mereka.

Hujan lebat sepanjang malam turut menenggelamkan banyak kawasan di ibu negara Dhaka, menyebabkan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar semalam. – Bernama