Sebab pesawat terbang laluan melengkung, bukan lurus

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JARANG sekali kita memikirkan laluan pesawat gunakan ke satu-satu destinasi kerana beranggapan ia bergerak mengikut garis lurus yang menyambung dua titik pada permukaan rata.

Tambahan, jika jarak yang pendek seperti dari Kuching ke Kuala Lumpur atau dari Sibu ke Bintulu, laluan yang diambil seakan-akan satu garis lurus, walaupun hakikatnya ia melengkung mengikut bentuk bumi yang sfera.

Namun, apabila kita melihat laluan penerbangan jarak jauh, sebagai contoh dari Los Angeles menuju ke Dubai yang berjarak sekitar 13,400 kilometer mengikut laluan bulatan agung, kita akan dapati laluan ini tidak seperti yang dijangkakan jika kita merujuk kepada peta Mercator.

Kita dapat perhatikan laluan yang diambil seolah-olah menjauhi destinasi apabila pesawat mengambil laluan ke utara terlebih dahulu sebelum turun ke selatan untuk tiba ke lokasi. Hal ini sedikit mengelirukan kerana kedudukan Dubai terletak ke Timur Los Angeles, kenapa ia tidak terus lalu ke arah ini?

Sebenarnya, kekeliruan itu berpunca daripada cara kita melihat dunia melalui peta Mercator, iaitu peta yang lazim digunakan dalam kebanyakan bahan geografi moden. Peta jenis ini sangat terkenal dan mempunyai sejarah panjang dalam dunia pelayaran.

Kelebihannya ialah peta ini dapat membantu pelayar mengekalkan arah kompas dengan mudah. Jika seseorang mahu mengikuti satu haluan tetap, garis itu boleh dilukis sebagai garis lurus di atas peta Mercator.

Namun, peta ini mempunyai kelemahan. Bumi ini berbentuk hampir sfera, sedangkan peta ialah paparan atas permukaan dua dimensi. Jadi, apabila bentuk yang melengkung ini dipindahkan ke atas permukaan yang rata, ia perlu diubah bagi menyelaraskan bentuk walaupun terpaksa membuat herotan pada kawasan yang semakin jauh dari khatulistiwa.

Maka disebabkan itu, kita dapat lihat saiz Greenland kelihatan hampir sebesar Afrika, sedangkan Afrika sebenarnya jauh lebih luas. Hal ini bukan kerana peta itu mahu menipu kita tetapi ia berlaku kerana permukaan bumi yang melengkung sedang dipaksa masuk ke dalam paparan rata.

Oleh sebab itu, semakin dekat sesuatu kawasan ke kutub, semakin besar kesan herotan yang muncul.

Perkara ini jarang mengganggu kita dalam urusan seharian. Bumi terasa rata kerana kita bergerak dalam jarak yang kecil berbanding saiz bumi. Malah jalan raya kelihatan mendatar, bangunan berdiri tegak dan laut terbentang luas tanpa kita nampak lengkungannya.

Namun, apabila perjalanan mencecah ribuan kilometer, bentuk bumi tidak boleh lagi diabaikan.

Lengkok bulatan

Di atas permukaan sfera, laluan terpendek antara dua titik bukanlah garis lurus seperti yang kita lukis di atas meja. Laluan paling pendek itu ialah lengkok bulatan agung atau great circle route.

Cara paling mudah untuk membayangkannya adalah dengan mengambil seutas benang lalu menegangkannya di atas permukaan bola dari satu titik ke titik lain. Benang itu tidak akan menjadi garis lurus seperti di atas kertas.

Ia akan membentuk satu lengkok mengikut permukaan bola. Lengkok itulah laluan paling pendek pada permukaan sfera.

Apabila lengkok ini dipindahkan semula ke atas peta rata, bentuknya boleh kelihatan aneh. Laluan yang paling pendek di atas bumi mungkin muncul sebagai satu lengkungan besar pada peta.

Pesawat kelihatan seperti melencong jauh ke utara, kemudian turun semula ke destinasi. Pada pandangan mata, laluan itu nampak lebih panjang. Namun dari sudut geometri bumi, ia sebenarnya lebih hampir kepada laluan paling pendek.

Contoh Los Angeles ke Dubai menunjukkan perkara ini dengan jelas. Jika kita melukis garis lurus pada peta Mercator, laluan itu mungkin kelihatan seperti merentas selatan Amerika Syarikat, menyeberangi Lautan Atlantik, melintasi Afrika Utara, kemudian masuk ke Semenanjung Arab sebelum tiba di Dubai.

Secara visual, laluan itu nampak kemas dan mudah difahami. Ia kelihatan seperti jalan paling terus.

Namun, laluan bulatan agung antara dua bandar ini tidak begitu. Laluan terpendeknya cenderung membawa pesawat jauh ke utara melalui Amerika Utara dan Kanada, kemudian menghampiri kawasan utara Atlantik atau Artik sebelum turun melalui Eropah utara, Eurasia, Asia Tengah atau kawasan sekitar Iran, seterusnya menuju ke rantau Teluk dan Dubai.

Pada peta rata, laluan ini nampak seperti satu selekoh besar. Pada bumi yang melengkung, laluan itulah yang lebih munasabah dari segi jarak.

Perbezaan ini bukan perkara kecil. Dalam penerbangan antara benua, jarak tambahan boleh memberi kesan besar kepada masa penerbangan, penggunaan bahan api, kos operasi dan pelepasan karbon.

Sebuah pesawat komersial tidak boleh sekadar memilih laluan yang nampak cantik pada peta. Setiap kilometer membawa implikasi kepada perancangan bahan api, jadual ketibaan, pelepasan kru dan kecekapan syarikat penerbangan.

Namun, penerbangan sebenar tidak hanya berpandukan bulatan agung. Laluan bulatan agung hanyalah titik permulaan dari sudut matematik. Dalam dunia operasi sebenar, langit juga dipengaruhi dengan keadaan cuaca, aliran angin, laluan udara, ruang udara sempadan negara, arahan kawalan trafik dan pertimbangan keselamatan.

Jimat bahan api

Salah satu faktor paling besar ialah angin di altitud tinggi. Pada ketinggian pelayaran, pesawat boleh bertemu aliran angin kuat yang dikenali sebagai jet stream. Jika angin bertiup dari belakang, pesawat boleh bergerak lebih pantas berbanding bumi sekali gus menjimatkan bahan api.

Jika angin datang dari hadapan, pesawat perlu bekerja lebih kuat dan masa penerbangan boleh menjadi lebih panjang. Oleh sebab itu, ada kalanya pesawat memilih laluan yang nampak sedikit jauh pada peta tetapi sebenarnya lebih cekap kerana dibantu angin.

Cuaca juga boleh mengubah segala-galanya. Ribut petir, awan kumulonimbus, debu gunung berapi, kawasan gelora udara atau sistem cuaca yang luas boleh menyebabkan pesawat melencong daripada laluan asal.

Lencongan ini dilakukan adalah untuk keselamatan dan keselesaan semua orang di dalam pesawat.

Ruang udara pula mempunyai peraturannya sendiri. Pesawat tidak boleh terbang sesuka hati merentasi mana-mana negara. Setiap negara mengawal ruang udaranya.

Ada laluan yang dibuka untuk penerbangan awam, ada kawasan yang dihadkan, ada kawasan yang ditutup sementara dan ada juga ruang udara yang perlu dielakkan kerana faktor keselamatan atau geopolitik.

Notis penerbangan, arahan pihak berkuasa dan keadaan semasa boleh menyebabkan laluan berubah walaupun perancangan asal sudah dibuat lebih awal.

Bagi penerbangan jarak jauh menggunakan pesawat dua enjin, faktor lapangan terbang alternatif juga sangat penting. Dalam operasi yang sering dikaitkan dengan Extended-range Twin-engine Operational Performance Standards (ETOPS), pesawat perlu memastikan ia masih berada dalam jarak masa tertentu daripada lapangan terbang yang sesuai sekiranya berlaku kecemasan.

Kecemasan itu tidak semestinya melibatkan enjin sahaja. Ia juga boleh melibatkan isu perubatan, tekanan kabin atau keadaan lain yang memerlukan pendaratan segera. Oleh sebab itu, laluan merentas lautan dan kawasan terpencil tidak semestinya mengikut garis terpendek secara mutlak.

Apabila pesawat sudah menghampiri lapangan terbang, laluan juga jarang benar menjadi lurus sepenuhnya. Pesawat perlu mengikuti prosedur ketibaan yang telah ditetapkan supaya trafik udara dapat disusun dengan selamat.

Oleh sebab itu,adakala penumpang merasakan pesawat berpusing atau membuat lengkungan besar sebelum sejajar dengan landasan.

Oleh itu, nikmatilah perjalanan dengan tenang, pendek atau panjang laluan yang perlu diambil oleh juruterbang, semuanya dirancang agar dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan memaksimumkan keuntungan syarikat.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.