
BETONG: Penganjuran Liga Betong terus memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan bola sepak akar umbi dengan memberi peluang kepada pemain muda mempamerkan bakat sebelum diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, penganjuran liga itu bukan sahaja menghidupkan semula suasana bola sepak tempatan, malah menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti pemain berpotensi yang mampu mewakili daerah, bahagian dan negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata, usaha berterusan menganjurkan kejohanan seumpama itu penting dalam melahirkan lebih ramai atlet muda yang berbakat serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Selain menjadi platform pertandingan yang kompetitif, Liga Betong juga menjadi gelanggang mencungkil bakat-bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan simbolik sepak mula perlawanan separuh akhir pertama antara Makarion FC menentang Pusa District FC di Kompleks Sukan Betong, semalam.
Liga Betong 2026 yang bermula pada 6 Jun lalu menghimpunkan lapan pasukan dari sekitar Bahagian Betong yang bersaing merebut kejuaraan dalam kejohanan berprestij itu.
Keunikan edisi kali ini ialah pertandingan dijalankan di tiga lokasi berbeza iaitu Kompleks Sukan Betong, Kompleks Sukan Debak dan Padang Majlis Daerah Saratok bagi memberi peluang kepada lebih ramai penyokong mengikuti aksi pasukan masing-masing.
Menurut Mohamad Shafizan, pendekatan menggunakan tiga lokasi itu berjaya menghidupkan suasana pertandingan di setiap lokasi sekali gus memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau berkata, penyertaan aktif komuniti dan sokongan padu daripada penyokong turut memberi suntikan semangat kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
Tambah beliau, pembangunan sukan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan bola sepak, agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan bakat muda terus dibimbing secara sistematik.
Katanya, kejohanan seperti Liga Betong juga mampu mengeratkan hubungan masyarakat melalui semangat kesukanan di samping menyemarakkan aktiviti sukan di peringkat akar umbi.
Beliau berharap Liga Betong akan terus dianjurkan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih banyak pasukan, sekali gus menjadi medan melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu mengharumkan nama Bahagian Betong, Sarawak dan negara.
Oleh Adi Safarman