Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, berbincang dengan Lionel Messi ketika aksi suku akhir Piala Dunia menentang Switzerland di Kansas City. Foto AFP
KANSAS CITY: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menegaskan pertembungan separuh akhir Piala Dunia menentang England pada 3 pagi
Khamis depan (waktu Malaysia) hanyalah “sebuah perlawanan bola sepak” selepas pasukannya menewaskan Switzerland 3-1 pada aksi suku akhir.
Alexis Mac Allister meletakkan juara bertahan itu di depan seawal permainan di Kansas City hari ini, namun Dan Ndoye menyamakan kedudukan menerusi gol yang wajar diperoleh Switzerland di pertengahan babak kedua.
Bencana menimpa Switzerland beberapa minit kemudian apabila Breel Embolo dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan simulasi, sekali gus memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain.
Julian Alvarez mematahkan hati Switzerland pada minit ke-112 sebelum pemain gantian Lautaro Martinez menambah gol ketiga pada saat-saat akhir.
Argentina kini mengalihkan tumpuan kepada separuh akhir di Atlanta yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh tegang.
Sejarah pertemuan antara England dan Argentina sering dihiasi insiden panas di atas padang, selain dibayangi pertikaian kedaulatan berhubung Kepulauan Falkland yang dikenali sebagai Malvinas dalam bahasa Sepanyol di Lautan Atlantik Selatan.
Britain menghantar pasukan tentera pada 1982 untuk merampas semula kepulauan itu selepas tentera Argentina mencerobohnya.
Namun Scaloni memilih untuk mengetepikan isu politik selepas kemenangan Argentina di Stadium Arrowhead.
“Lihat, ini adalah perlawanan bola sepak,” katanya. “Jadi mesejnya ialah ini hanyalah perlawanan bola sepak. Itu sahaja yang boleh saya katakan.
“Ia perlawanan bola sepak dan kami akan menentang lawan yang sangat sukar. Mereka mempunyai jurulatih yang hebat dan ini hanyalah perlawanan bola sepak, itu sahaja.”
Pertemuan dengan England hadir 40 tahun selepas perlawanan bersejarah di suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico.
Argentina menang 2-1 di Estadio Azteca menerusi dua gol Diego Maradona – satu gol kontroversi “Tangan Tuhan” dan satu lagi larian solo memukau yang dianggap antara jaringan terbaik sepanjang zaman.
Kedua-dua pasukan bertemu dua kali lagi dalam Piala Dunia selepas itu – Argentina menang menerusi penentuan penalti pada 1998 manakala England membalas dendam empat tahun kemudian.
Scaloni mengakui juara bertahan itu perlu meningkatkan prestasi selepas sekali lagi diuji hebat susulan kemenangan 3-2 ke atas Cape Verde dan Mesir sebelum ini.
“Kami menang kerana cita-cita kami – kami tidak mahu perlawanan ditentukan menerusi penalti,” katanya. “Ia lebih kepada keinginan untuk menang berbanding kualiti permainan.”
Beliau menambah: “Kami berada di separuh akhir, satu kedudukan istimewa dalam bola sepak yang mungkin kita anggap biasa, tetapi sebenarnya ia tidak mudah.
“Kami mempunyai segala alasan untuk gembira, berpuas hati dan teruja.
“Sekarang kami akan berjuang habis-habisan hingga ke penghujung, dengan setiap titis tenaga dan peluh yang ada.
“Jika kami berjaya, bagus. Jika tidak, kami tetap akan memberikan segala-galanya. Jangan ada sebarang keraguan tentang perkara itu.” – AFP