Regata Sejijak medium perkukuh perpaduan, persiap generasi hadapi masa depan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
FADILLAH Yusof berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Regata Sejijak 2026 di jeti Kampung Sejijak

KUCHING: Regata Sejijak bukan sekadar acara sukan tradisi, malah menjadi wadah mengukuhkan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, penganjuran regata yang menjadi antara sukan paling popular di Sarawak itu turut membuka peluang menjana pendapatan penduduk menerusi aktiviti pelancongan dan keusahawanan.

“Di Sarawak terdapat kira-kira 11 pertandingan regatta yang diadakan setiap tahun. Selain mengeratkan hubungan masyarakat, program seperti ini juga perlu dimanfaatkan untuk merangsang ekonomi setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Regata Sejijak 2026 di sini.

Fadillah berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan global dan cabaran kos sara hidup, masyarakat perlu terus bekerjasama dengan kepimpinan setempat bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.

Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan pendidikan dan penguasaan kemahiran dalam kalangan generasi muda agar mereka mampu merebut peluang pembangunan yang diwujudkan menerusi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurutnya, seperti peserta regata yang memerlukan latihan dan persiapan rapi sebelum berlumba, anak-anak juga perlu diperlengkap dengan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi masa depan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong penganjuran Regata Sejijak serta meneruskan usaha pembangunan di kawasan berkenaan demi kesejahteraan rakyat.

Oleh Afiq Sallehi