
PERIKSA…Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu dan kenderaan dalam Operasi Khas Op Mabuk di Jalan Miri-Airport.
MIRI: Sebanyak 42 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Jalan Miri-Airport, di sini, malam tadi hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang bermula 11.00 malam hingga 3.00 pagi itu diketuai seorang pegawai kanan polis bersama sembilan anggota trafik.
Menurutnya, seramai 91 individu terdiri daripada 72 lelaki dan 19 wanita diperiksa membabitkan 86 kenderaan.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 42 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, gagal mempamerkan huruf ‘P’ serta kesalahan teknikal lain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, hasil ujian pernafasan menggunakan Alat Saringan Pernafasan 2 (SD2) mendapati suspek mempunyai kandungan alkohol dalam badan ketika memandu sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Miri bagi pengambilan sampel darah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000, penjara maksimum dua tahun bagi kesalahan pertama serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.
Mohd Farhan berkata, polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol kerana tindakan itu boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara tidak sah serta menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran.
Oleh Liong Chai Ling


