TORONTO: Kanada akan menghantar kakitangan kesihatan dan peralatan tambahan ke Ontario yang dilanda virus ketika wilayah itu memerangi lonjakan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan, kata Perdana Menteri Justin Trudeau pada Ahad lalu.
“Kerajaan akan menggerakkan profesional kesihatan dari pelbagai jabatan persekutuan ke Ontario, khususnya wilayah Toronto yang mana keadaannya paling kritikal,” kata Trudeau dalam sebuah video yang disiarkan di Twitter.
Ontario, wilayah terpadat di Kanada dengan 14 juta penduduk selama beberapa hari berjuang dengan catatan kes Covid-19, kemasukan ke hospital dan pesakit rawatan intensif yang semuanya mengancam akan membanjiri sistem kesihatannya.
Pada Ahad lalu, wilayah tersebut melaporkan 4,250 kes baharu, 18 kematian baharu dan 2,107 kes baharu dimasukkan ke hospital.
“Kerajaan sedang berbincang dengan beberapa wilayah termasuk Nova Scotia dan Newfoundland untuk bekerjasama dalam misi itu termasuk menyediakan peralatan dan sumber] sedia ada dalam beberapa hari mendatang.
“Ottawa akan menanggung kos pengangkutan dan menyelaraskan pemindahan pengasuh ke Ontario,” ujar Trudeau.
Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan juga akan menghantar kit ujian Covid-19 yang cepat ke kawasan Ontario yang paling banyak terkena wabak tersebut.
“Kanada menyaksikan peningkatan kes didorong oleh varian yang lebih menular di tempat di seluruh negara termasuk di wilayah terbesar kami dan bandar terbesar di Kanada.
“Segala-galanya akan menjadi lebih baik. Dan sehingga mereka berjaya di Ontario, penduduk Kanada, kita ada sokongan. Bersama-sama, kita akan menyelesaikannya,” tambah Trudeau.
Pada Jumaat lalu, Ontario mengumumkan bahawa ia memperketat perintah penutupannya untuk mengekang wabak itu termasuk menutup sempadan antara wilayah bagi perjalanan yang tidak penting.
Ketua Wilayah Ontario, Doug Ford menambah tempoh perintah berkurung dua minggu hingga 19 Mei dan memerintah penduduk Ontario untuk keluar hanya untuk keperluan asas mereka.
Pemerintah wilayah juga membatasi kapasiti bagi perniagaan penting seperti farmasi atau pasar raya, serta pada majlis perkahwinan, pengebumian dan upacara keagamaan.
Setelah permulaan yang perlahan, kempen vaksinasi Kanada telah meningkat.
Hampir 24 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut laman web Covid-19 Tracker Canada.
“Bagi memperluas akses, usia minimum untuk menerima vaksin AstraZeneca akan diturunkan dari 55 hingga 40 tahun di Ontario,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Wilayah itu kepada AFP, Ahad.
Jawatankuasa Penasihat Nasional Imunisasi (NACI) telah mengesyorkan pada akhir Mac lalu untuk menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca pada individu di bawah usia 55 tahun bagi menilai risiko pembekuan darah.
Tetapi Health Canada mengatakan pada Rabu lalu bahawa analisisnya menunjukkan tidak perlu menyekat penggunaan suntikan dan NACI sedang mengkaji kedudukannya.
Kanada telah mencatatkan lebih daripada 1.1 juta kes sejak bermulanya wabak ini dan sekitar 23,600 kematian. -AFP