
MOSCOW: Presiden Moldova Maia Sandu pada Sabtu mencalonkan ahli perniagaan dan pelabur Vasile Tofan sebagai perdana menteri, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sidang media di Chisinau, ibu negara Moldova, Sandu berkata: “Selepas mengadakan rundingan dengan fraksi Parlimen dan berdasarkan matlamat serta keutamaan Republik Moldova, saya memutuskan untuk mencalonkan Vasile Tofan sebagai calon bagi jawatan perdana menteri.”
Pencalonan itu dibuat susulan peletakan jawatan mengejut bekas Perdana Menteri Alexandru Munteanu.
Parti Tindakan dan Solidariti (PAS) yang memerintah Moldova, dan menguasai Parlimen serta kerajaan, menyokong Tofan.
Mengikut Perlembagaan Moldova, Tofan mempunyai tempoh 15 hari untuk membentangkan program pentadbiran serta senarai anggota Kabinet kepada Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.
Pada sidang media itu, Tofan berkata usaha memulihkan ekonomi akan menjadi antara keutamaan utamanya, selain mengekalkan komitmen negara dalam proses integrasi Eropah.
“Jika kita gagal memulihkan keyakinan dalam kalangan usahawan, tiada perkara lain yang akan berjaya kerana kita tidak akan mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakannya,” katanya.
Tofan berkata beliau tidak merancang melakukan rombakan besar terhadap Kabinet sedia ada buat masa ini kerana kesinambungan diperlukan bagi memastikan program kerajaan terus berada pada landasan yang betul serta memenuhi garis masa berkaitan proses penyertaan Moldova ke Kesatuan Eropah (EU).
“Jika kita terlepas peluang ini, kita berisiko melengahkan perjalanan kita dengan ketara. Cabaran utama yang akan saya hadapi ialah mencari keseimbangan antara perubahan pantas yang diperlukan dengan kesinambungan,” katanya.
Beberapa hari sebelum pencalonannya, Tofan menerusi hantaran di Facebook menyifatkan Presiden Argentina Javier Milei sebagai contoh pembaharuan ekonomi.
Bagaimanapun, selepas menerima kritikan di media sosial, beliau menjelaskan bahawa pendekatan ekonomi yang dilaksanakan Argentina tidak lagi dianggap sesuai untuk diterapkan di Moldova.
– Bernama