
THESSALONIKI, Greece: Seorang lelaki hampir tersedut keluar melalui tingkap sebuah pesawat Ryanair yang didakwa tertanggal ketika pesawat berada di udara dalam penerbangan menuju ke Jerman, sebelum penumpang lain berjaya menariknya masuk semula, menurut saksi dan pihak berkuasa semalam.
Penumpang itu, yang dikenal pasti sebagai seorang pelancong dari Serbia yang menaiki penerbangan dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen, Jerman, kini dirawat di hospital selepas mengalami kecederaan lelasan akibat geseran, namun keadaannya dilaporkan stabil.
“Kebanyakan kami sedang tidur ketika itu. Tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti tayar meletup,” kata seorang penumpang kepada Radio Thessaloniki.
“Kami segera menyedari berlaku penyahmampatan udara. Kedengaran jeritan… seketika saya menyangka seseorang telah membuka pintu kecemasan secara tidak sengaja,” katanya.
“Topeng oksigen terus terjatuh dan terdapat bau yang kuat. Kepala serta bahu seorang penumpang berada di luar tingkap. Mujur dia masih memakai tali pinggang keledar.”
Menurutnya, penumpang lain yang berada berhampiran segera membantu menarik lelaki itu masuk semula ke dalam pesawat.
Media Greece melaporkan kejadian itu berlaku ketika pesawat berada di ruang udara Macedonia Utara dan mendakwa tingkap berkenaan pecah selepas terkena serpihan yang tercabut daripada salah satu enjin pesawat.
Dalam satu kenyataan, Ryanair memaklumkan penerbangan itu berpatah balik ke Thessaloniki sejurus selepas berlepas apabila sebuah tingkap penumpang tertanggal ketika pesawat sedang terbang.
“Pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dibawa kembali ke terminal,” menurut syarikat penerbangan tambang murah dari Ireland itu.
Ryanair berkata sebuah pesawat gantian kemudian disediakan untuk membawa baki penumpang ke Memmingen.
Sementara itu, pengeluar pesawat Boeing memaklumkan pihaknya menyedari insiden tersebut dan sedang berhubung dengan Ryanair.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan insiden itu melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-800 yang mengalami kerosakan pada tingkap penumpang.
FAA berkata pihaknya bersedia membantu pihak berkuasa Greece serta memberikan sokongan teknikal kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan dan insiden penerbangan.
NTSB pula memaklumkan bahawa Macedonia Utara, sebagai negara lokasi kejadian, akan mengetuai siasatan serta menentukan komposisi pasukan penyiasat dan sebarang penyertaan antarabangsa.
“NTSB telah melantik seorang wakil bertauliah Amerika Syarikat yang, bersama penasihat teknikal daripada FAA, Boeing dan General Electric Aerospace, bersedia untuk memberikan bantuan,” menurut kenyataan itu. – AFP