Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Merino akui gol kemenangan Piala Dunia umpama mimpi menjadi kenyataan
  • SUKAN

Merino akui gol kemenangan Piala Dunia umpama mimpi menjadi kenyataan

Utusan Sarawak 18 hours ago
MIKEL Merino (#6) dari Sepanyol menjaringkan gol kedua pasukannya melepasi penjaga gol Belgium, Senne Lammens (#12), dalam aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Belgium di Stadium Los Angeles, Inglewood, California, pada 10 Julai 2026. Foto AFP

LOS ANGELES: Wira kemenangan Sepanyol, Mikel Merino, menyifatkan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan dalam dua aksi kalah mati berturut-turut pada Piala Dunia 2026 sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

Merino muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88 ketika Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir pada perlawanan awal pagi tadi, selepas turut menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika membantu pasukannya menewaskan Portugal 1-0 dalam pusingan 16 terakhir pada Isnin lalu.

“Saya tidak pernah membayangkan perkara seperti ini walaupun dalam mimpi paling indah saya, iaitu menjaringkan satu lagi gol pada saat-saat akhir perlawanan,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Saya menyangka saya memerlukan masa yang lama untuk mengulangi pencapaian seperti itu, namun saya berjaya melakukannya dalam perlawanan berikutnya,” katanya.

MIKEL Merino (#6) dari Sepanyol meraikan jaringan gol kedua pasukannya dalam aksi suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Belgium di Stadium Los Angeles, Inglewood, California, pada 10 Julai 2026. Foto AFP

Ketika kedudukan terikat 1-1 pada penghujung perlawanan, Pau Cubarsi melepaskan rembatan rendah dari jarak jauh yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens.

Bola itu pantas disambar Merino, yang hanya dua minit berada di atas padang, sebelum pemain Arsenal itu tenang menyempurnakan peluang untuk menghadiahkan kemenangan kepada Sepanyol.

Merino berkata, kejayaan itu bukan sekadar kebetulan, sebaliknya hasil keazaman yang tinggi serta keyakinan terhadap keupayaannya untuk menyumbang kepada pasukan apabila diperlukan.

“Itulah yang saya lakukan. Saya turun ke padang dengan semangat yang tinggi dan keyakinan bahawa saya mampu membantu pasukan apabila diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai kemaraan Sepanyol ke separuh akhir untuk bertemu Perancis, Merino mengakui perjalanan pasukannya kali ini tidak segemilang ketika muncul juara Kejohanan Eropah dua tahun lalu.

“Hari ini kami benar-benar diuji,” katanya.

Menurutnya, pertemuan menentang Perancis dijangka menjadi cabaran besar memandangkan lawan itu merupakan antara pasukan pilihan untuk muncul juara Piala Dunia, meskipun Sepanyol pernah menewaskan mereka 2-1 pada Kejohanan Eropah.

“Ia pasti menjadi pertarungan sengit sebagaimana lazimnya aksi separuh akhir. Kami akan turun menentang Perancis dengan penuh semangat dan keazaman.

“Ini merupakan perlawanan bertaraf tertinggi. Kedua-dua pasukan berada pada tahap prestasi terbaik dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk melangkah ke final,” katanya. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Sadio Mané tamatkan karier bersama skuad kebangsaan Senegal
Next: Courtois yakin Lammens bangkit selepas kesilapan di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.