SIBU: Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu, Sarawak berjaya menahan sebuah lori kargo dan merampas sejumlah rokok yang dipercayai tidak berkastam di tepi jalan berhadapan Kem Oya, Jalan Sibu-Bintulu, Khamis lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, hasil pemeriksaan lanjut di Pejabat Kastam di sini mendapati lori tersebut membawa rokok dianggarkan sebanyak 4,000,000 batang rokok putih dan 499,200 batang rokok kretek dengan nilai dianggarkan berjumlah RM224,960 dan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM2,991,968.
Katanya, dua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun telah ditahan manakala lori serta barang kes disita untuk siasatan lanjut.
“Lori kargo dengan muatan papan lapis (plywood) telah digunakan untuk mengaburi agensi penguatkuasa.
“Lori tersebut dipercayai dari Miri dan berkemungkinan besar dalam perjalanan ke Kuching untuk menghantar bekalan rokok berikutan permintaan yang sangat tinggi menjelang dua perayaan besar pada bulan Mei 2021 dan Jun 2021 yang akan datang.
“Tangkapan ini merupakan tangkapan kedua dalam tempoh seminggu yang menggunakan modus operandi yang sama.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut dan memindah barangan tak berkastam atau larangan,” jelasnya menerusi satu kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, Herman menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD