
SELANGAU: Seorang lelaki cedera parah, manakala pembonceng wanita turut mengalami kecederaan selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan kendiri di Simpang Impian, Jalan Sibu-Bintulu, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.21 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi pada 6.25 petang, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbabas di tengah jalan, manakala kedua-dua mangsa mengalami kecederaan.
Anggota bomba membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menstabilkan keadaan mangsa, sementara pembonceng wanita telah dibawa menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Klinik Selangau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Selepas menyerahkan Denis kepada petugas perubatan serta membersihkan sisa kemalangan di lokasi, operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera bomba ditamatkan pada 6.35 petang.