
LONDON, United Kingdom: Penghormatan mencurah-curah pada Khamis kepada penyanyi Wales, Bonnie Tyler, yang terkenal menerusi lagu cinta ikonik “Total Eclipse of the Heart”, selepas beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Portugal pada usia 75 tahun.
Dengan suara serak yang unik, rambut perang mengurai dan solekan celak hitam yang menjadi identitinya, Tyler dikenali sebagai ratu balada berkuasa era 1980-an.
Keluarga Tyler memaklumkan menerusi Facebook bahawa mereka “amat berdukacita mengumumkan Bonnie meninggal dunia secara mengejut malam tadi di hospital di Portugal akibat penyakit yang sedang dirawatnya”.
Pejabat Perdana Menteri Britain berkata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berasa sedih menerima berita pemergian Tyler dan menyifatkannya sebagai “antara artis rakaman terhebat Britain” yang muziknya terus menyentuh kehidupan ramai.
Ramai bintang muzik dan filem turut memberi penghormatan kepada Tyler. Penyanyi rock Britain, Rod Stewart, menulis di Instagram bahawa beliau dan Tyler “berkongsi gaya vokal yang hampir sama”, sambil menyifatkannya sebagai “sahabat baik dan penyanyi yang benar-benar menyentuh jiwa”.
Pelakon Hollywood kelahiran Wales, Catherine Zeta-Jones, pula berkata Tyler, yang pernah menyanyi pada majlis perkahwinannya, ialah “wanita luar biasa dengan vokal yang sepadan dengan kehebatannya”.
Penyanyi pop Britain, Cliff Richard, mengenang Tyler sebagai individu yang “ceria dan penuh semangat sehingga menghiburkan ramai orang di seluruh dunia”, manakala penyanyi Kanada, Bryan Adams, berkata Tyler memiliki “suara yang hebat” dan mengucapkan terima kasih atas versi “indah” lagu ciptaan bersama beliau.
Penyanyi klasik, Katherine Jenkins, pula menyifatkan Tyler sebagai “legenda sejati Wales yang suaranya yang tiada tandingan memberi inspirasi kepada beberapa generasi serta mengangkat nama Wales ke pentas dunia dengan penuh kekuatan, semangat dan keaslian”.
Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di bandar Neath, Wales pada 1951 dan membesar bersama lima adik-beradik, Tyler tidak pernah membayangkan kejayaan besar yang bakal dikecapinya selepas meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun.
“Lagu terbaik yang pernah saya rakam ialah ‘Total Eclipse of the Heart’. Mana mungkin saya sangka lagu itu masih begitu popular hingga hari ini dan orang yang belum lahir ketika itu pun menyanyikannya di karaoke,” katanya kepada Daily Telegraph pada 2025.
Beliau berasal daripada keluarga sederhana. Bapanya bekerja di lombong arang batu, manakala ibunya seorang suri rumah.
Pada awal kerjayanya, Tyler bekerja di sebuah kedai runcit dan menyanyi pada waktu lapang menggunakan nama Sherene Davis bagi mengelakkan kekeliruan dengan penyanyi Wales lain, Mary Hopkin.
Pada 1975, beliau ditemui pencari bakat Roger Bell ketika membuat persembahan di sebuah kelab malam di Swansea sebelum menandatangani kontrak bersama RCA Records beberapa bulan kemudian dan menukar namanya kepada Bonnie Tyler.
Tidak lama selepas itu, beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kecil pada pita suara. Disebabkan tidak berehat secukupnya selepas pembedahan, beliau akhirnya memperoleh suara serak yang menjadi identitinya.
Kejayaan besar pertama Tyler hadir menerusi lagu “It’s a Heartache” pada 1978 sebelum beralih kepada muzik rock pada awal 1980-an. Namun, lagu “Total Eclipse of the Heart”, ciptaan komposer Amerika Syarikat, Jim Steinman, melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.
Lagu itu kini dianggap antara balada rock paling terkenal sepanjang zaman dan pada 2026, ia melepasi satu bilion penstriman di Spotify, 43 tahun selepas diterbitkan.
Ia turut terjual melebihi enam juta salinan, manakala video muziknya mencatat lebih satu bilion tontonan di YouTube.
Ketika berada di kemuncak populariti pada 1984, Tyler turut merakam lagu “Holding Out for a Hero” untuk filem terkenal “Footloose”.
Sepanjang kerjayanya, Tyler menghasilkan 17 album studio dan menerima tiga pencalonan Anugerah Grammy.
Pada 2013, beliau mewakili United Kingdom dalam pertandingan Eurovision menerusi lagu “Believe In Me”, namun hanya menduduki tempat ke-19.
Peminat kepada Tina Turner dan penyanyi rock Perancis, Johnny Hallyday, Tyler dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan tidak pernah meninggalkan loghat Walesnya.
Sejak 1970-an, beliau dan suaminya, bekas atlet judo Robert Sullivan, membahagikan masa antara Wales dan Algarve, Portugal.
Pada 2022, beliau turut dianugerahkan gelaran Member of the Order of the British Empire (MBE) oleh Ratu Elizabeth II atas sumbangannya kepada dunia muzik.
“Saya menjalani kehidupan yang sangat normal dan tidak ke mana-mana dengan pengawal peribadi. Saya bukan Mariah Carey, sayang. Saya sentiasa gembira melayan peminat yang mahu berswafoto dengan saya di hadapan kaunter salad,” katanya kepada The Times pada 2025.
“Orang selalu tanya sama ada saya bosan menyanyikan lagu-lagu lama, tetapi kenapa saya perlu bosan menyanyikan lagu seperti ‘Total Eclipse of the Heart’? Setiap kali saya mula menyanyikannya, seluruh penonton akan turut menyanyi bersama. Itulah keajaibannya.” – AFP