
KUCHING: Kebakaran sebuah kilang aiskrim di kawasan perindustrian Demak Laut di sini merebak melibatkan lima premis bersebelahan sebelum pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bertindak mengawal api daripada terus merebak.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) dan JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.23 tengah hari sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan BBP Petra Jaya dan BBP Batu Lintang ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.38 tengah hari, sekitar 15 kilometer dari BBP Tabuan Jaya, dan mendapati kebakaran melibatkan kilang separuh kekal milik AI-CHA Food MY (EM) Sdn Bhd di No.48 Jalan Bako, Demak Laut Industrial Park.
JBPM melaporkan kebakaran telah merebak ke lima premis iaitu kilang aiskrim, produk makanan, penyimpanan thinner, kilang baja dan kilang logistik.
“Pasukan bomba menggunakan kaedah defensif fire break bagi mengelakkan kebakaran terus merebak ke premis lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JBPM, operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk tekanan air rendah serta keadaan angin yang kuat di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan seramai 32 anggota dengan kekuatan tiga jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), dua Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah lori tangki air.
Turut berada di lokasi ialah tiga anggota polis bagi membantu melancarkan operasi.
Setakat maklumat awal, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Afiq Sallehi