
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram kepada 13 Julai.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan mahkamah bahawa abang ipar kepada bekas perdana menteri itu meninggal dunia pagi tadi.
“Pihak pembelaan memohon jasa baik mahkamah untuk membenarkan anak guam kami (Muhyiddin) menziarahi arwah serta menunaikan solat jenazah di Johor.
“Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon agar prosiding perbicaraan hari ini dilapangkan dan disambung pada minggu hadapan iaitu 13 Julai,” katanya.
Pada prosiding itu, Noor Ruwena turut merakamkan ucapkan takziah kepada Muhyiddin dan seluruh ahli keluarganya.
Hari ini, pihak pembelaan sepatutnya menyambung pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-13 iaitu Pengarah dan Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd, Aliza Abd Malek, 47.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama