Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kewajiban melunaskan hutang
  • RENCANA

Kewajiban melunaskan hutang

Utusan Sarawak 9 hours ago
SUASANA Jambatan Endau pada waktu petang berlatarbelakangkan pelangi baru-baru ini. Jambatan yang merentasi Sungai Endau itu menjadi penghubung penting antara Johor dan Pahang, selain menyokong mobiliti penduduk serta aktiviti ekonomi setempat. Foto BERNAMA

DOSA terbahagi kepada dua kategori, iaitu dosa terhadap Allah SWT dan dosa sesama manusia. Bagi dosa terhadap Allah SWT, seseorang hendaklah bertaubat serta memohon keampunan daripada-Nya agar diampunkan.

Namun, bagi dosa yang melibatkan sesama manusia, seseorang juga perlu memohon kemaafan daripada pihak yang dizalimi kerana hak manusia tidak akan gugur hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT.

Hutang merupakan satu bentuk muamalat yang diharuskan dalam Islam selagi tidak mendatangkan mudarat kepada peminjam mahupun pemberi hutang.

Mudarat kepada diri sendiri boleh berlaku apabila seseorang berhutang dengan ceti haram atau ah long sehingga mengancam keselamatan diri dan keluarga.

Manakala mudarat kepada pemberi hutang pula berlaku apabila peminjam sengaja melengah-lengahkan pembayaran sedangkan pemberi hutang memerlukan wang tersebut untuk kelangsungan hidup, atau apabila seseorang meminjam dengan niat untuk tidak melunaskan hutangnya. Kedua-dua perbuatan itu merupakan satu bentuk kezaliman terhadap pemberi hutang, sedangkan Allah SWT membenci kezaliman.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan tempoh bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis dalam kalangan kamu menulisnya dengan adil.”
(Surah al-Baqarah, ayat 282)

Seseorang yang berhutang juga hendaklah berniat untuk melunaskan hutangnya. Jika tidak, perbuatan itu menjadi satu dosa terhadap saudaranya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat untuk membayarnya, maka Allah SWT akan membantunya melunaskannya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah SWT akan membinasakannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa yang berhutang lalu berniat untuk tidak melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah SWT pada hari kiamat sebagai seorang pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)

Roh Tergantung

Terdapat beberapa hadis yang memberi amaran kepada mereka yang sengaja tidak melunaskan hutang, khususnya individu yang berkemampuan tetapi enggan membayarnya. Antaranya ialah hadis yang menyebut tentang roh atau jiwa yang tergantung.

Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga hutang itu dilunaskan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Para ulama telah menghuraikan maksud hadis tersebut. Imam al-Suyuthi menjelaskan bahawa seseorang yang masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan ketika meninggal dunia akan tertahan daripada memperoleh kedudukan yang mulia di akhirat.

Sementara itu, al-Hafiz al-Iraqi menjelaskan bahawa urusan penghakiman terhadapnya akan tertangguh sehingga hutangnya diselesaikan, sama ada oleh dirinya ketika hidup atau oleh pihak lain selepas kematiannya. (Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi).

Justeru, ancaman terhadap mereka yang mengabaikan hutang amat berat. Rasulullah SAW banyak mengingatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan soal hutang.

Malah, seseorang digalakkan memaklumkan kewujudan hutangnya kepada anak-anak, adik-beradik atau ahli keluarga terdekat supaya sekiranya berlaku kematian, hutang tersebut dapat dijelaskan menggunakan harta peninggalannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan masih mempunyai hutang, maka pada hari akhirat nanti tiada lagi urusan dinar dan dirham. Yang ada hanyalah urusan pahala dan dosa.” (Riwayat Abu Daud)


Sifat Tegas Saidina Umar al-Khattab

SAIDINA Umar bin al-Khattab terkenal sebagai seorang yang tegas, berani dan berperwatakan keras. Sifat tersebut telah ada dalam dirinya sejak sebelum memeluk Islam.

Namun, selepas memeluk Islam, beliau menggunakan ketegasan dan keberaniannya untuk menegakkan agama Allah SWT serta mempertahankan kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling penyayang dalam kalangan umatku ialah Abu Bakar, yang paling tegas dalam menegakkan agama Allah ialah Umar, yang paling pemalu ialah Uthman, yang paling mengetahui tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal, yang paling baik bacaan al-Qurannya ialah Ubay bin Kaab dan yang paling mengetahui ilmu faraid ialah Zaid bin Thabit. Setiap umat mempunyai seorang yang dipercayai dan orang yang dipercayai dalam kalangan umatku ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Riwayat Ahmad)

Saidina Umar sangat tegas terhadap kebatilan dan musuh-musuh Allah SWT. Sikap tersebut jelas terserlah dalam beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Antaranya, beliau pernah mencadangkan agar tawanan Perang Badar dihukum bunuh. Beliau juga menyarankan supaya Rasulullah SAW tidak menyolatkan jenazah Abdullah bin Ubay, ketua golongan munafik.

Selain itu, ketika Hatib bin Abi Balta’ah menghantar surat kepada penduduk Makkah bagi memaklumkan pergerakan tentera Islam, Saidina Umar mencadangkan agar beliau dihukum bunuh kerana perbuatannya dianggap boleh membahayakan umat Islam.

Ketegasan Saidina Umar terhadap golongan yang memusuhi Islam menyebabkan musuh-musuh Allah SWT berasa gentar terhadapnya. Bahkan, para sahabat sendiri amat menghormati dan segan akan ketegasan beliau.

Walau bagaimanapun, ketegasan Saidina Umar tidak pernah melampaui batas. Beliau bersikap tegas semata-mata demi mempertahankan kebenaran dan menegakkan syariat Allah SWT.

Di sebalik ketegasannya, hati Saidina Umar amat lembut apabila mendengar ayat-ayat al-Quran. Bacaan al-Quran mudah menyentuh jiwanya dan melembutkan hatinya, sekali gus membuktikan bahawa ketegasan beliau sentiasa berpaksikan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Oleh HANZALAN AZMAN

Continue Reading

Previous: Airbnb: Rakyat Malaysia amalkan sikap jiran baik ketika bercuti
Next: Dari sisa ke ‘emas hijau’: Benang serat nanas beri hasil lumayan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.