
LIMBANG: Tindakan pantas seorang penghuni berjaya mengawal kebakaran di kediamannya daripada merebak dalam kejadian di Taman Cahaya, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikerahkan ke lokasi, kira-kira tiga kilometer dari balai, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.36 pagi.
Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan bahagian siling sebuah bilik di rumah jenis tidak kekal dengan anggaran kemusnahan kira-kira tiga peratus.
“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah sebelum anggota bomba tiba di lokasi.
“Tiada operasi pemadaman dijalankan oleh pihak bomba. Anggota hanya membuat pemeriksaan bagi memastikan api benar-benar padam dan keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.