
PETALING JAYA: Kecederaan buku lali yang serius memaksa pemain bola sepak dan futsal wanita negara Intan Serah berehat panjang, seterusnya membuka ruang untuk beliau kembali ke dunia lakonan menerusi drama terbaharu, Premier League: I Love You.
Naskhah arahan Michael Ang itu merupakan drama bersiri pertama lakonannya selepas kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Gol & Gincu 2 pada 2018.
Pemilik nama sebenar Intan Sarah Anisah Zulgafli, 26, itu juga pernah menyertai program realiti travelog sukan From KL to PL terbitan Astro Ria selama dua musim, yang membawa personaliti dan selebriti Malaysia mengembara dari Kuala Lumpur ke England untuk menjelajah stadium-stadium terkemuka Liga Perdana Inggeris.
“Bila sudah tidak ada apa-apa komitmen, saya memang ada masa. Jadi apabila Astro tanya sama ada saya lapang untuk projek ini, saya terus bersetuju. Saya sangat teruja dapat berlakon dalam drama ini, kerana ini merupakan drama pertama saya,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Astro X3 dan barisan kandungan hiburan baharu Astro, di sini baru-baru ini.
Selain Intan Serah, drama bersiri Premier League: I Love You turut dibintangi Kamal Adli, Sean Lee, Hawa Rizwana dan Theebaan G serta akan ditayangkan di Astro Ria pada Ogos ini.
Setahun berehat daripada sukan bola sepak, Intan Serah berkongsi mengalami kecederaan apabila koyak dua ligamen pada bahagian buku lali, iaitu anterior talofibular ligament dan posterior talofibular ligament ketika mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember lepas.

Kecederaan itu menyebabkan bekas pemain kelab New York Dutch Lions FC itu tidak dapat menyertai skuad kebangsaan wanita Malayan Tigress bagi menghadapi saingan Piala Wanita AFF 2026 yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dari 10 hingga 22 Julai ini.
“Saya akan menjalani pembedahan pada Ogos ini selepas menyelesaikan segala komitmen seni termasuk urusan promosi drama berkenaan sebelum berehat sepenuhnya,” katanya.
Ditanya perancangan masa depan, Intan menegaskan keutamaannya tetap pada bola sepak demi mengejar impian yang belum terlaksana bersama-sama dengan skuad negara.
“Selama ini pencapaian saya lebih banyak bersama kelab dan secara individu.Tetapi saya juga mahu ada sekurang-kurangnya satu kejayaan bersama pasukan bola sepak wanita kebangsaan. Itu yang saya mahu kejar dahulu,” katanya.
Bekas pemain Majlis Bandaraya Subang Jaya FC itu pada masa sama tidak menolak rezeki dalam bidang seni dan berharap diberi peluang membawakan watak yang lebih mencabar selain karakter berkaitan sukan bola sepak.
“Kalau ada rezeki untuk aktif dalam kedua-dua bidang ini, why not? Saya nak cuba watak aksi ataupun watak yang gila-gila dan very happening sebab itu memang personaliti saya,” katanya.- Bernama