Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Bekas ketua Momoland dedah realiti pendapatan idola K-Pop
  • HIBURAN

Bekas ketua Momoland dedah realiti pendapatan idola K-Pop

Utusan Sarawak 7 hours ago
BEKAS ketua Momoland, Hyebin mendedahkan kebanyakan idola K-Pop sukar memperoleh pendapatan lumayan kerana perlu melunaskan pelbagai kos yang ditanggung syarikat sebelum menerima bayaran.

SEOUL: Bekas ketua kumpulan wanita K-Pop, Momoland, Hyebin mendedahkan sistem pembayaran dalam industri hiburan Korea Selatan yang menurutnya menyebabkan kebanyakan idola, khususnya daripada syarikat kecil dan sederhana, sukar memperoleh pendapatan lumayan.

Menurut laporan media Korea, Hyebin berkongsi perkara itu menerusi video bertajuk Why Idols Don’t Make Money yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya pada 6 Julai.

“Sudah lebih 10 tahun saya bergelar idola. Ramai mungkin tertanya-tanya berapa sebenarnya pendapatan seorang idola. Nampak seperti banyak, tetapi hakikatnya tidak,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa, kecuali artis di bawah agensi hiburan besar, kos latihan, makanan, penginapan dan sewaan studio sepanjang tempoh sebagai pelatih akan ditanggung terlebih dahulu oleh syarikat sebelum ditolak daripada pendapatan artis selepas mereka membuat penampilan sulung (debut).

“Dalam erti kata mudah, ia adalah sistem bayar kemudian. Kami membuat debut dengan menanggung hutang mencecah ratusan juta won. Ramai menyangka artis mula memperoleh pendapatan sebaik sahaja debut, tetapi hakikatnya hanya mereka yang benar-benar popular mampu menjana pendapatan,” katanya.

Hyebin berkata beliau bertuah kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ketika itu sanggup melaburkan semua sumber yang dimiliki, manakala Momoland berjaya menduduki tempat pertama dalam program muzik hanya dua tahun selepas debut.

“Orang mungkin fikir kami sudah mula memperoleh pendapatan, tetapi sebenarnya tidak. Pada asasnya, semua kos ditanggung bersama oleh syarikat dan ahli kumpulan,” katanya.

Beliau berkata kos menghasilkan sebuah lagu boleh mencecah puluhan juta won, manakala pembikinan sebuah video muzik pula menelan belanja ratusan juta won.

“Separuh daripada kos itu ditanggung oleh ahli kumpulan. Ini bermakna wang saya sendiri digunakan setiap kali kami menghasilkan video muzik,” katanya.

Menurut Hyebin, ahli kumpulan turut berkongsi kos sesi fotografi album, gaji pengurus, perbelanjaan kenderaan serta dandanan rambut dan solekan.

“Saya mengambil masa dua tahun selepas debut untuk mula dikenali. Dalam tempoh itu kami menghasilkan empat video muzik. Walaupun syarikat melaburkan berbilion won, kami tidak menerima bayaran sehingga semua pelaburan itu berjaya dibayar semula,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sesebuah kumpulan menjadi popular dan kerap menerima tawaran persembahan serta iklan, ia tidak bermakna semua ahlinya memperoleh pendapatan yang tinggi.

“Purata bayaran bagi satu persembahan idola ialah sekitar 50 juta won (kira-kira RM135,000). Kedengarannya banyak, tetapi separuh diberikan kepada syarikat, manakala bakinya dibahagikan kepada sembilan ahli. Selepas ditolak pelbagai perbelanjaan, saya hanya menerima kira-kira dua juta won bagi setiap persembahan,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pendapatan itu pula akan dilaburkan semula bagi membiayai penghasilan video muzik seterusnya.

“Jadi, siapa sebenarnya yang memperoleh pendapatan sebagai idola? Hanya satu peratus terbaik berjaya menjadi pelatih, daripada mereka hanya satu peratus berjaya membuat debut, dan daripada kumpulan itu hanya satu peratus benar-benar memperoleh pendapatan lumayan. Saya bukan dalam kelompok itu,” katanya.

Hyebin membuat penampilan sulung bersama Momoland pada 2016 dan dikenali menerusi lagu hit seperti Bboom Bboom dan BAAM. – AGENSI

Continue Reading

Previous: Pernah dibayar RM8, Elaine Kang imbau perjalanan seni lebih 40 tahun
Next: Kecederaan buka ruang Intan Serah kembali ke dunia seni

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.