
SERIAN: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang pekerjaan menerusi tindakan pendakwaan terhadap majikan yang didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang hasil siasatan yang dijalankan.
Menurut kenyataan JTK Sarawak, hari ini tiga kes berjaya diselesaikan pendakwaan di Mahkamah Majistret Serian melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
“Dalam ketiga-tiga kes tersebut, Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM5,700 membabitkan lima pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JTK Sarawak mengulas lanjut, tindakan pendakwaan itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan undang-undang pekerjaan serta melindungi hak dan kebajikan pekerja.
“Jabatan akan terus menjalankan aktiviti pemeriksaan dan siasatan terhadap majikan bagi memastikan setiap peruntukan undang-undang pekerjaan dipatuhi.
“Sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi, tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.