Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • TIANG BELIAN KUMANG
  • WBS

TIANG BELIAN KUMANG

Utusan Sarawak 4 hours ago

KUMANG sesak nafas bagaikan dadanya terisi penuh oleh biji-biji lada yang semerah matahari yang tegak di kepala. Pandangannya lantas berbinar-binar.

 ‘Dari mana datangnya dahan-dahan ini? Tiada sesiapakah yang dapat membantu untuk memotong dahan-dahan yang membelit leherku ini?’ rintih Kumang yang terkapai-kapai mencapai dahan lada yang datang bertali arus membelit lehernya.

Huh! Mengapa tidak kupersetujui sahaja kehendak Ah Peng? Kalau dipersetujui, setidak-tidaknya aku tidak perlu bergelumang di bawah matahari yang membakar kulit tubuhku ini. Peluh sudah lama meresap ke dalam baju, kering lalu basah kembali, seolah-olah tubuhku sendiri sedang memberontak.

Namun, setiap kali nama Ah Peng itu terlintas, ada sesuatu yang mengeras di dalam dada seperti biji-biji lada spesis Semongok Emas yang harga jatuh merudum menghambat salur pernafasanku.

Sedetik, lirih ingatan Kumang ketika usianya menginjak sepuluh tahun menyusup ke benaknya. Semakin terang dan jelas, seperti kabus yang menipis di lereng bukit setiap kali matahari pagi menguak sunyi. Kumang tahu kebun di puncak bukit itu ialah kebun datuknya, tanah yang bernafas dengan peluh dan doa seorang lelaki yang dikenali ramai sebagai Apai Lada. Sesuai dengan namanya, datuknya memiliki lebih lima ribu pokok lada yang berdaun hijau berkilat, tersusun seperti barisan tentera yang setia menanti musim.

Masih segar juga dalam ingatan Kumang saat dia memetik buah lada, satu demi satu, yang merah menyala, semerah wajah Ah Peng ketika menahan marah, atau mungkin malu, atau sesuatu yang tidak pernah sempat Kumang tafsirkan sepenuhnya.

Jemarinya yang kecil dahulu sering ternoda dengan getah lada, pedihnya menjalar hingga ke kuku, namun dia tidak pernah mengadu.

Di celah-celah rimbun daun itu, tawa datuknya bergema, berat tetapi hangat, seperti bumi yang memeluk setiap benih yang jatuh.

Kini, kenangan itu bertandang seperti panggilan yang perlahan-lahan memaksa Kumang mengingati sesuatu yang pernah dia tinggalkan atau seperti satu amaran untuk dia melakukan sesuatu selain dari tunduk kepada Ah Peng, manusia yang poketnya tidak pernah cukup untuk dipenuhi.

Kumang masih keliru, entah bagaimana kakinya secepat itu melangkah menuju kawasan kebun. Kalau diikutkan, setelah berminggu-minggu dia tidak menziarahi kebunnya kerana cuaca yang tidak mengizinkan, dia hanya sekadar berbekalkan niat untuk melihat-lihat.

Mengira-ngira kerja apa yang tinggal dan berbaki. Akan tetapi, pada setiap perdu lada yang dipandang, setiap batang belian yang masih terpacak, dan setiap tangkai buah lada yang bergelimpangan di tanah seolah-olah membisikkan nada sayu ke telinga Kumang.

Manakan tidak. Buah-buah lada yang sudah separuh ranum bukanlah satu rahmat buatnya. Semua itu harus dituai sebelum rosak.

Sedetik itu juga, kepalanya dibebani harga baja sudah ketahuan melonjak naik, upah jentera pula tidak dapat lagi ditawar-tawar. Kos hidup pula kian mencanak seperti bukit yang semakin ditarah, tidak pula landai-landai.

Kumang mengerutkan dahi. Tangannya mula memicit-micit sisi kepala. Yang pasti, semua masalah yang didepani dirinya sekarang sedang berpilin-pilin di dalam kepala.

Kumang mulai melangkah ke perdu lada yang di hujung, mencari tempat teduh dan bersandar. Punggungnya dilabuhkan ke tanah sebelum bahunya menyondong ke tiang belian.

Sesekali, kepalanya menoleh ke kiri dan kanan, memerhati andai perdu lada yang menjadi kawasan istirahatnya selamat.

Dan di situlah bermulanya belitan dahan lada yang membelenggu Kumang. Dia yang hampir terlena, tidak sedar sulur lada menjalar ke pergelangan tangannya.

Sejurus selepas itu, sulur itu naik ke lengannya, ke bahu sehingga ke bahagian badan dan lehernya. Andaikan itu cara kebun warisan datuknya menuntut jawapan, Kumang sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab.

Dia sendiri juga tidak tahu sampai bila dia harus menanggung semuanya sendiri. Apakah dia bersalah andai dia melepaskan warisan yang sepertinya memberati langkahnya sehari-hari?

Kumang mula meronta-ronta untuk melepaskan diri, namun setiap gerak-gerinya hanya menguatkan lilitan dahan lada. Setiap dahan sulur mulai membesar, mencengkam leher dan anggota badan Kumang sehingga dia tak berdaya lagi.

Mukanya tak terbanding kemerahan. Butir-butir peluh ralit menuruni kulit sawo matang Kumang. Wajahnya yang penuh sengsara tak ubah seperti sedang dihukum, bukan sahaja oleh pohon-pohon lada dan tanah warisan, malah hidup yang sedang dijalaninya.

Kepala Kumang tidak semena-mena terangkat, menjengah ruang udara. Mulutnya tercungap-cungap sebelum rakus menyedut nafas ke peparunya. Dia sedar bahawa dia harus membuat keputusan dengan kadar yang segera.

Memilih salah satu daripada dua dahan lada yang erat membelit lehernya kini. Tiada masa untuk berfikir. Cuma bertindak. Setidaknya, apa-apa yang dipilih untuk diputuskan, dia tetap bebas dari belenggu yang mencekik nyawanya sekarang.

Andaikan dia menurut sahaja permintaan Ah Peng, sepertinya penat lelahnya di kebun itu tidak dibayar setimpal. Seperti ketika dia dan apainya terpaksa menjual lada mentah yang ketahuan dibeli dengan harga murah.

Benar dia akan beroleh sedikit wang untuk menampung perbelanjaan barangan dapur, membeli baja dan membayar upah mereka yang membantunya di kebun.

Akan tetapi, bersetuju bulat-bulat dengan harga yang serendah itu, seumpama merendahkan sendiri nilai tanah warisan miliknya. Bukankah anak Iban sepertinya harus berkobar semangat ”Agi Idup, Agi Ngelaban”?

Kumang menggelengkan kepala sekali lagi. Dia berfikir, sekiranya buah lada itu disimpan pula, sehingga harganya naik, risiko lain pula yang mengintai.

Kumang mendesus kasar. Sepertinya dia tidak dapat menerima hakikat andai berguni-guni lada berakhirkan dijamah kulat dalam diam. Jangankan hutang, permintaan perut dan keperluan-keperluan di kebun itu pasti takkan dapat dilunaskan.

Kumang menunduk, dibelenggu  rasa bersalah. Dia tahu jikalau dia menunggu, serupa sekali dia berjudi.

Berjudi dengan masa, cuaca dan ragam pasaran yang tiada siapa yang tahu. Malah, yang tergadaikan juga kelak adalah nasib dirinya sendiri.

Ah! Apa tidak ada jalan keluar untuk semua ini? Kumang masih cuba meneka-neka jawapan untuk kebebasan.

Bunyi lalang dikuak dan beberapa ranting kering patah, tiba-tiba memecah suasana sunyi di kebun. Dari celah-celah batang belian yang tegak, muncul satu susuk tubuh seorang lelaki. Riak mukanya angkuh sekali.

Malah lagaknya melangkah seperti orang yang hendak memungut hutang. Tiada keberatan nafas. Tiada basah peluh di baju kemejanya yang tak berbutang. Selipar yang digunakan juga tidak comot dek lumpur.

Ah! Ah Peng…tentu dia masih hendak bertawar-tawar dengan aku, getus hati Kumang. Matanya tidak lepas-lepas memerhati Ah Peng yang melangkah semakin hampir. ‘Jangan kau cepat tunduk.

Jangan kau ulang kesilapan seminggu yang lalu’ bisik hati Kumang lagi sambil menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba mengingat kembali semua yang perlu dilunaskan seperti kos baja, upah jentera dan barang dapur. Kalau aku sebut harga sendiri?

Kalau aku pecahkan jualan sedikit-sedikit? Atau tunggu pemborong lain? Fikirannya ligat menyusun jalan keluar, satu demi satu seperti menyusun batang belian di lereng curam.

Namun setiap langkah Ah Peng ke hadapan membuatkan tubuh lelaki itu seolah-olah meninggi, malah melebar, menutup pandangan Kumang terhadap kebunnya sendiri.

Bayangnya memanjang, menelan perdu-perdu lada di belakang. Dan Kumang hanya mampu menelan liur.

“Harga jatuh. Kau tak ada pilihan.”

“Betul kau masih ingin simpan semua guni-guni itu?” soal Ah Peng dengan nada yang tajam dan halus, mencucuk dada Kumang seperti jarum.

Kumang terus membungkam. Dia masih lagi cuba untuk melegakan bekas belitan di lehernya. Dia juga cuba untuk berdiri, mendepani Ah Peng, namun lututnya masih hendak menyembah tanah.

Lemah. Ah Peng yang melihat Kumang berdiam semakin mendekat. Gugusan buah lada yang tergantung berdekatan, lantas dipicit perlahan, digesel antara jari sebelum dilambung-lambung. Tak ubah seolah sedang menimbang-nimbang nilai hidup Kumang.

“Kau tahu kan, harga lada tak macam dulu lagi,” sambungnya, tanpa menoleh. “Kalau kau setuju, aku boleh ambil semua hari ini juga. Tunai.”

Bersipongang perkataan terakhir itu dalam telinga Kumang, yang sengaja ditekankan oleh Ah Peng. Tidak lama selepas itu, dia menyungging sengih layak seorang pemancing yang tahu di mana harus melemparkan umpan.

Kumang gagahi juga kakinya untuk berdiri sambil menepis beberapa kotoran yang ada di baju dan seluar. Tak semena-mena juga, kebun yang sebentar tadi dingin bereluskan angin sepoi-sepoi, menjadi semakin panas.

“Lima ringgit sekilo? Apa macam? Lain semua setuju. Ramai lagi tunggu ni, mahu aku beli lada mereka,” Ah Peng menawarkan lagi.

“Ramai… atau kau sengaja buat kami jadi ramai? Bukan kau kata minggu lepas, kau sanggup ambil dengan harga lima belas ringgit sekilo?” Kumang memandang tepat ke mata Ah Peng. Namun Ah Peng hanya tersenyum nipis.

“Ni, aku tambah satu ratus untuk lada belum dipetik. Yang dalam guni, aku ambil dengan harga tadi. Apa macam?”

Kumang menunduk lama, seolah-olah tanah diinjak kakinya lebih layak dan lebih tahu membuat keputusan daripada dirinya sendiri.

Setiap butir lada yang bergugus jatuh dan singgah ke mata seakan memandangnya kembali. Meski tidak berkata apa, tetapi setiap satu biji tersebut sarat pertanyaan.

Kumang tahu harga yang ditawarkan Ah Peng itu tidak adil, malah hampir menghina jerih payah yang bertahun-tahun disiramkan di bukit ini. Namun apa lagi yang tinggal untuk dipilih?

‘Hutang tidak pernah menunggu, perut tidak pernah mengerti musim, dan hidup aku perlu diteruskan tanpa tunduk kepada peraih yang kejam seperti kau Ah Peng,’ gerutu Kumang sambil menghembus nafas dengan panjang. ‘Apa aku tidak ada hak untuk mengenyangkan perutku?

Apakah hanya aku yang perlu mengalah dengan peraih seperti kau yang rakus mengikis tulang-temulang para petani seperti aku? Cis, aku tidak semudah itu untuk kau pijak-pijak Ah Peng! Hari ini kau akan tahu tanpa kami para petani kau tidak akan sempat mengangkat dagu!’

Kumang mendekati Ah Peng. Dia enggan lagi tunduk. Enggan lagi ditindas seperti dahulu. Di tangannya, bergenggam segugus lada yang masih hijau buahnya.

Sebelum sempat ditunjuk ke muka Ah Peng, Kumang mengangkat tinggi buah lada itu ke udara. Seolah-olah, di situlah sebenarnya maruah dan harga dirinya serta pengusaha lada yang lain sepatutnya terletak.

“Kau tak boleh sewenang-wenangnya berbuat sedemikian dengan aku lagi. Dengan kami semua,” ujar Kumang, dengan suara yang lebih tegas. “Ini semua hasil dari tanah kami. Hasil titik peluh dan kudrat kami. Sepatutnya, kami yang tentukan harga. Bukannya, kau!”

Ah Peng terdiam mendengarkan Kumang meninggikan suaranya. Matanya yang melilau sekeliling sejak dari tadi kini hanya terkunci ke mata Kumang. Malah pandangannya mulai hangat. Sehangat penangan buah lada Kumang.

“Aku tak nak jual,” bentak Kumang lagi. Angin yang sejak tadi mati, kini bernyawa semula. Berhembus meniup antara sela-sela tiang belian dan perdu lada, menggerakkan setiap daun hingga kedengaran seperti desir panjang. Sepertilah menyokong suara Kumang yang akhirnya bergema keluar. “Kalau kau masih tak setuju, aku sanggup tunggu. Kalau lada rosak, itu aku punya fasal. Yang pasti, aku takkan jual berguni-guni lada itu semua dengan harga yang kau tawarkan. Aku tak mahu dihina sampai sebegitu rupa.”

Kumang melangkah setapak lagi. Mendekati tubuh Ah Peng. Kerana tinggi mereka hampir sama, hidungnya hampir berlaga dengan hidung Ah Peng. “Tak ada kau pun, kebun ini masih berdiri. Aku masih dapat hidup.”

Ah Peng yang kelihatan semakin kekok mengalih anak matanya, mengerling sekeliling. Dia mengundurkan diri beberapa langkah ke belakang. Kini, dia tidak lagi merasakan dirinya besar. Malah dia mengecil menjadi seorang lelaki awal 40-an yang erat menggenggam buku kira-kira di tangan.

“Jangan pula…kau…menyesal…”

Suara Ah Peng terputus-putus. Bungkamnya selepas itu lalu disambar desiran daun lada yang kian menipis semisal bunyi angin yang cuba menyelinap antara retak dinding.

Kumang mengerutkan dahi. Nafasnya yang tadi berkobar dengan semangat kini memperlahan dan pendek.

Tidak semena-mena, sesuatu yang kasar menjamah di pipinya. Tanah. Dalam mamai, Kumang tersentak. Dia mendapati dirinya terbaring di tanah kebun.

Perlahan bau tanah merah yang bercampur baja organik menusuk hidung Kumang. Kumang sedaya-upaya membuka mata, namun cahaya matahari petang itu sepertinya terlalu terang dan menyilaukan.

Yang pasti, antara perdu-perdu lada, tiada lagi kelibat Ah Peng. Tiada juga kedengaran suaranya yang parau hendak tawar-menawar.

Leher dan lengannya juga diraba-raba. Diusap berkali-kali. Tiada lagi belitan dahan dan sulur lada. Tiada juga bekas-bekas lepuh dan calar pedih. Hanya tiang belian, perdu lada, dirinya dan sebuah kebun yang berlatar siulan unggas hutan.

***

Sudah beberapa bulan berlalu, Ah Peng tidak lagi kelihatan memunculkan diri di kebun Kumang, malah di kebun-kebun pengusaha lada sekitar kampung itu.

Dan sepanjang tempoh itu juga, pondok yang sebelum ini cuma dijadikan ruang teduh, Kumang penuhkan dengan mesin. Semua itu berkat dana bantuan daripada pihak kerajaan.

Ada mesin pelerai buah, pengisar dan pengering lada. Dan semua mesin itu juga Kumang gunakan untuk memproses hasil-hasil lada pengusaha di kampung itu. Semua hasil dikumpul dan dibungkuskan di bawah label milik Kumang.

Kumang tidak lagi berharap dengan orang tengah untuk membuat pemasaran. Pesanan yang tidak henti-henti daripada beberapa pasaraya tempatan menambah keyakinan Kumang.

Bahkan separuh daripada tempahan yang diterimanya adalah kenalan lama yang dahulu memesan daripada orang tengah sahaja. Semua itu juga kerana Kumang berdaftar di bawah pensijilan myGAP Jabatan Pertanian Sarawak.

Usaha yang diambil Kumang untuk memastikan hasil produk pertaniannya berkualiti dan dijamin mutunya.

Walau bagaimanapun, sesekali Kumang masih lagi mengusap lehernya tanpa sedar, mengingatkan belitan dahan lada yang mencekiknya sebelum ini.

Seakan memberi amaran bahawa tiada perkara yang benar-benar selesai. Tambahan pula, harga baja kian meningkat, kos pengangkutan pula semakin mahal. Semua itu menyamar intaian belitan halus yang bakal menyesakkan lehernya lagi.

Cuma kali ini, Kumang tidak lagi memilih untuk tunduk. Dia akan terus utuh berdiri seperti tiang belian di kebun ladanya. Tegar melawan untuk nasib hidupnya serta nasib pengusaha lada yang lain.

GLOSARI:

  1. Apai – bapa
  2. Agi Idup, Agi Ngelaban – Kata keramat pahlawan Iban, Rentap yang membawa maksud “Selagi Hidup, Selagi itu Melawan”

Oleh Adie Abd Gani

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.