
KUCHING: Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pengurusan Konflik Manusia-Buaya Bahagian Kuching memperkukuh penyelarasan antara agensi menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Kuching bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan konflik manusia dan buaya di bahagian ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pemangku Residen Bahagian Kuching, Lim Hock Meng dan dihadiri wakil pelbagai agensi kerajaan negeri serta persekutuan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta wakil Pejabat Daerah Bau dan Lundu.
Pada mesyuarat tersebut, Sophia Sik membentangkan laporan operasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 yang merangkumi aktiviti pengalihan buaya, pemasangan perangkap, pemasangan papan tanda amaran serta statistik aduan dan tindakan susulan di seluruh Bahagian Kuching.

Menurut laporan itu, semua operasi diketuai oleh Amran Omar.
Mesyuarat turut mendengar taklimat mengenai pelaksanaan Inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar 2026 yang disampaikan oleh Ketua Seksyen SWAT, Chai Min Sing.
Beliau memaklumkan bahawa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah mengambil alih urusan pemprosesan bantuan kepada mangsa serangan hidupan liar sejak Januari lalu.
Katanya, terma dan syarat bantuan akan diedarkan kepada semua Pejabat Daerah bagi membolehkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung menyalurkan maklumat kepada mangsa serta keluarga mereka dengan lebih cepat dan teratur.
Mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara semua agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan konflik manusia dan buaya di Bahagian Kuching dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan bersepadu.