
KUCHING: Program Dwibahasa Sarawak (DLP Sarawak) kini diperluaskan sehingga ke Tingkatan Satu pada tahun ini, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, tahun ini juga menandakan tahun ketujuh pelaksanaan DLP Sarawak yang kini merangkumi semua peringkat sekolah rendah sebelum diperluaskan ke sekolah menengah.
Menurut beliau, kejayaan DLP Sarawak bermula dengan asas penguasaan Bahasa Inggeris yang kukuh dalam kalangan pelajar, justeru guru Bahasa Inggeris memainkan peranan penting dalam memastikan murid mampu memahami kandungan pembelajaran serta berkomunikasi dengan yakin.

“Tugas guru Bahasa Inggeris melangkaui bilik darjah kerana mereka membantu membina asas yang membolehkan pelajar mempelajari Sains, Matematik dan mata pelajaran lain dengan lebih berkesan. Mereka juga memainkan peranan dalam melahirkan generasi saintis, jurutera, inovator dan profesional pada masa depan,” katanya.
Roland berkata, tema ‘Dari Sarawak ke Persada Dunia: Bilik Darjah Tempatan, Peluang Global’ mencerminkan aspirasi Sarawak untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa walaupun menerima pendidikan di bilik darjah tempatan.
Menurutnya, penguasaan Bahasa Inggeris bukan sahaja membuka akses kepada ilmu pengetahuan, inovasi dan pendidikan tinggi, malah meningkatkan keupayaan pelajar untuk berkomunikasi serta bekerjasama di peringkat global selaras dengan pembangunan Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dan dipacu inovasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, pemimpin sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta seluruh warga pendidik yang terus komited meningkatkan mutu pendidikan, termasuk mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.


Katanya, SELES bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi medan memperkukuh jaringan profesional dan menyebarluaskan amalan terbaik dalam pengajaran Bahasa Inggeris.
“Kejayaan SELES bukan hanya diukur sepanjang simposium ini berlangsung, tetapi melalui bagaimana ilmu yang diperoleh dikongsi dan diterjemahkan kepada pengalaman pengajaran serta pembelajaran yang lebih baik untuk pelajar di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2026 Edisi Ke-10 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berharap usaha memperkasakan pendidikan Bahasa Inggeris akan terus diperkukuh menerusi kerjasama semua pihak bagi melahirkan generasi Sarawak yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan untuk merebut peluang di peringkat global.
Oleh Norman B