
BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Operasi JPJ Bintulu melaksanakan Ops Lampu HID/LED di Jalan Tun Ahmad Zaidi susulan aduan orang awam mengenai penggunaan lampu HID/LED yang tidak mengikut spesifikasi.
Dalam operasi itu, sebanyak 136 kenderaan pelbagai jenis diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan, antaranya memandu tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh, penggunaan lampu HID/LED yang tidak mematuhi spesifikasi serta pelbagai kesalahan teknikal melibatkan kenderaan.
Menurut JPJ Sarawak, semua kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius setiap aduan yang diterima daripada orang awam dan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua kenderaan di jalan raya mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, penggunaan lampu HID/LED yang diubah suai secara tidak sah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan pengguna jalan raya lain kerana menyebabkan silau dan menjejaskan tahap penglihatan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menggesa semua pemilik dan pemandu kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengelakkan sebarang pengubahsuaian yang tidak dibenarkan serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan bagi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat, selesa dan berhemah untuk semua.
Oleh Faizah Muzidi