
BRUSSELS: Pemain tengah Belgium, Amadou Onana, disahkan terlepas baki saingan Piala Dunia 2026 selepas mengalami kecederaan koyakan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanan ketika membantu negaranya menewaskan tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Persekutuan Bola Sepak Belgium mengumumkan perkara itu selepas pemain berusia 24 tahun yang beraksi bersama Aston Villa itu terpaksa dikeluarkan lebih awal dalam kemenangan 4-1 Belgium ke atas Amerika Syarikat di Seattle.
“Malangnya, pemeriksaan perubatan mengesahkan Amadou mengalami koyakan ligamen krusiat anterior. Ini merupakan berita yang amat menyedihkan, bukan sahaja buat beliau secara peribadi, malah kepada seluruh pasukan,” kata doktor pasukan Belgium, Brahim Hacene, dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihak pasukan segera mengadakan perbincangan dengan Onana dan kelabnya, Aston Villa, bagi menentukan kaedah terbaik untuk proses pemulihan pemain itu.
“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan bersama-sama menentukan langkah seterusnya berkaitan rawatan dan program rehabilitasi beliau,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan bahawa Onana akan terus berada di Amerika Utara bersama rakan sepasukannya sekurang-kurangnya sehingga tamat aksi suku akhir.
Belgium dijadual menentang Sepanyol dalam perlawanan suku akhir di Los Angeles pada 3.00 pagi Sabtu (waktu Malaysia). – AFP