Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Hassan dakwa Mesir ‘dinafikan hak’ selepas tersingkir secara kontroversi kepada Argentina
  • SUKAN

Hassan dakwa Mesir ‘dinafikan hak’ selepas tersingkir secara kontroversi kepada Argentina

Utusan Sarawak 4 hours ago
KETUA jurulatih Mesir, Hossam Hassan, berbincang dengan pengadil dari Perancis, Francois Letexier, semasa perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Mesir di Stadium Atlanta, Atlanta, pada 7 Julai 2026. Foto AFP

ATLANTA: Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, mendakwa pasukannya dinafikan hak untuk mara ke suku akhir Piala Dunia selepas Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi dramatik pusingan 16 terbaik, pada perlawanan 12.00 tengah malam tadi (waktu Malaysia).

“Saya tidak mahu berselindung di sebalik alasan nasib malang. Hari ini kami telah dinafikan hak secara tidak adil. Kami menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya pada sidang media yang berlangsung dalam suasana penuh emosi.

Pasukan Mesir menyaksikan jaringan Mostafa Zico ketika mendahului 1-0 dibatalkan selepas Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR) mengesan berlakunya kekasaran terhadap Lisandro Martínez pada peringkat awal gerakan tersebut.

Bagaimanapun, Zico sekali lagi menemui sentuhan penyudah untuk menggandakan kelebihan Mesir, sekali gus meletakkan pasukan itu di ambang kemaraan ke suku akhir Piala Dunia buat julung kalinya.

HOSSAM Hassan, memberikan reaksi kecewa selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Argentina dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Atlanta, Atlanta, Georgia, pada 7 Julai 2026. Foto AFP

Namun demikian, juara bertahan Argentina bangkit apabila Cristian Romero merapatkan jurang sebelum Lionel Messi, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, menjaringkan gol penyamaan, sekali gus mencatat jaringan kelapannya dalam kejohanan kali ini.

Kontroversi terus tercetus apabila Mesir mendakwa mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti sebelum jaringan kemenangan Argentina yang disempurnakan Enzo Fernández, susulan dakwaan Alexis Mac Allister menarik jersi Hamdy Fathy di dalam kotak penalti.

“Kami tidak melihat sebarang penghormatan atau semangat kesukanan. Tiada penghormatan dan tiada semangat kesukanan.

“Sepakan penalti yang sepatutnya memihak kepada kami tidak diberikan dan langsung tidak disemak menerusi VAR. Jaringan kedua kami pula dibatalkan dalam keadaan yang meragukan. Malah, tiada semakan VAR dilakukan walaupun semua orang dapat melihat jersi pemain kami ditarik,” katanya.

HOSSAM Hassan, memberikan reaksi semasa perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Mesir di Stadium Atlanta, Atlanta, Georgia, pada 7 Julai 2026. Foto AFP

Hassan turut menyatakan bahawa beliau tidak akan lagi mengikuti baki saingan Piala Dunia kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku.

“Saya tidak akan meneruskan untuk mengikuti atau menonton baki perlawanan Piala Dunia ini. Inilah cara saya menyuarakan bantahan,” katanya.

Dakwa Mahu Kekalkan Messi

Selepas tandukan Yasser Ibrahim meletakkan Mesir di hadapan, Argentina dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran terhadap Nicolás Tagliafico.

Namun, Messi terus bergelut dalam situasi sepakan penalti di pentas Piala Dunia apabila percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.

Pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu kini gagal menyempurnakan empat daripada lapan sepakan penalti yang diambilnya dalam aksi Piala Dunia, termasuk dua kegagalan pada edisi kali ini.

Hassan turut membayangkan bahawa pegawai perlawanan mungkin menerima tekanan untuk memastikan salah seorang bintang terbesar kejohanan itu terus beraksi.

“Mungkin mereka mahu memastikan juara dunia terus kekal dalam kejohanan ini. Mungkin mereka mahu Messi terus bersaing.

“Dalam bola sepak, adakalanya terdapat faktor luar yang mengatasi aspek teknikal. Juara dunia menerima sokongan di setiap peringkat,” katanya kepada BeIN Sports.

Beliau turut mengkritik jadual perlawanan yang ditetapkan pada 12.00 tengah hari, hanya empat hari selepas kedua-dua pasukan beraksi dalam pusingan 32 terbaik.

“Sesiapa yang menetapkan jadual seperti ini pasti tidak pernah bermain bola sepak. Tiada siapa yang menjadualkan perlawanan pada 12.00 tengah hari. Waktu itu sepatutnya digunakan untuk berehat atau menikmati makan tengah hari, bukannya bermain bola sepak.

“Bilakah pemain sepatutnya mengambil makanan? Pada 7.30 pagi?

“Banyak perkara yang perlu dipersoalkan, sama ada di dalam mahupun di luar padang,” katanya. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Switzerland atasi Colombia menerusi penentuan sepakan penalti, mara ke suku akhir Piala Dunia
Next: Messi enggan pulang, kebangkitan Argentina mengejutkan Mesir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.