PENGURUS Sarawak United, Abang Suhordie Abang Zaini mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu selesa dan terbuai dengan kecemerlangan yang dikecapi dalam saingan Liga Premier 2021 setakat ini.
Sarawak United ketika ini memimpin carta liga dengan 16 mata hasil daripada lima kemenangan dan sekali seri, namun beliau menegaskan belum masanya untuk para pemain mendabik dada kerana perjalanan musim ini masih terlalu jauh dan bukan mudah buat mana-mana pasukan kekal konsisten sehingga penghujung musim.
“Lupakan kemenangan lalu, saya berharap semua pemain akan kekal fokus dalam misi meneruskan momentum kemenangan dan mencari tiga mata penuh pada perlawanan seterusnya.
“Sememangnya saya gembira dengan permulaan positif ini tetapi tidak mahu ia membuatkan kami terleka sedangkan masih banyak lagi perlawanan yang bakal ditempuhi lebih-lebih lagi apabila jadual perlawanan semakin padat kerana situasi itu pasti akan menguji kami,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Justeru, Abang Suhordie mahu pemainnya melupakan episod kemenangan besar 7-1 yang dicatat ke atas Skuad Projek FAM-MSN tempoh hari dan seterusnya memberi fokus utama melakukan persiapan perlawanan ketujuh mereka di laman sendiri menentang PDRM FC Jumaat ini di Stadium Hang Jebat Melaka.
“Saya tidak menjangkakan keputusan yang besar tempoh hari kerana sebelum perlawanan menentang Sarawak United, skuad muda negara itu memberi tentangan yang kuat terutamanya menentang Kuching City FC yang berkesudahan 2-2 dan kita tetap menghormati mereka.
” Projek FAM-MSN tetap memberi tentangan sengit kepada kami. Walaupun berjaya mencipta tujuh gol dalam perlawanan itu namun yang penting ialah kami mahu sentiasa bersikap merendah diri dan melihat ke depan untuk persiapan perlawanan seterusnya sekali gus menjadi sebagai sebuah pasukan yang konsisten sepanjang musim saingan Liga Premier,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau amat tertarik dengan komitmen tinggi yang ditampilkan oleh penyerang import dari Nigeria, Uche Agba yang kini mendahului senarai penjaring Liga Premier setelah berjaya menjaringkan lapan gol daripada enam perlawanan.
Bekas pemain PDRM FA itu terbukti menyinar bersama pasukan bimbingan E Elavarasan apabila menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Skuad FAM-MSN hujung minggu lepas.
“Saya tidak menyangka Uche Agba berjaya meledakkan empat gol dalam perlawanan itu, biarpun seperti yang diketahui umum ibu kesayangannya telah meninggal dunia baru-baru. Dan saya amat khuatir dengan emosi dia akan terganggu pada aksi malam itu,” tegasnya.
Buat masa ini, Agba mendahului senarai penjaring di Liga Premier, dengan pemain terdekat yang mampu mencabar kedudukannya ialah pemain Negeri Sembilan FC, Alain Akono, Fernando Rodriquez dari JDT II, dan George Attram dari Selangor II yang kini menjaringkan lima gol.
Oleh ADI SAFARMAN