Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sepanyol tewaskan Portugal 1-0, tamatkan perjalanan terakhir Ronaldo di Piala Dunia
  • SUKAN

Sepanyol tewaskan Portugal 1-0, tamatkan perjalanan terakhir Ronaldo di Piala Dunia

Utusan Sarawak 9 hours ago
PEMAIN penyerang Sepanyol #19, Lamine Yamal dan pemain tengah #09, Gavi, bereaksi selepas memenangi perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Sepanyol di Stadium Dallas di Arlington pada 6 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON: Jaringan lewat pemain gantian Mikel Merino memastikan Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0, sekali gus menamatkan perjalanan legenda bola sepak Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia.

Merino, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, meledak gol kemenangan pada minit pertama masa kecederaan selepas menerima hantaran daripada seorang lagi pemain gantian, Ferran Torres.

Kemenangan itu menyaksikan juara Eropah itu melangkah ke suku akhir dan bakal berdepan sama ada Amerika Syarikat atau Belgium di Los Angeles, Jumaat ini.

PEMAIN tengah Sepanyol #06 Mikel Merino meraikan jaringan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Sepanyol di Stadium Dallas di Arlington pada 6 Julai 2026. Foto AFP

Perlawanan yang disaksikan 70,649 penonton di Stadium AT&T itu dijangka berlangsung sengit, namun kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang berbahaya sebelum Merino muncul wira pada penghujung perlawanan.

Kekalahan itu turut menandakan penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia. Penyerang berusia 41 tahun yang kini beraksi di Arab Saudi sebelum ini mengesahkan edisi kali ini merupakan penampilan terakhirnya dalam kejohanan berprestij itu.

Sepanyol hadir ke perlawanan sebagai antara pasukan pilihan dan meneruskan rekod cemerlang apabila masih belum melepaskan sebarang gol sepanjang kejohanan. Juara dunia 2010 itu kini selangkah lebih hampir untuk memburu gelaran kedua.

PENYERANG Portugal #07, Cristiano Ronaldo, bereaksi selepas tewas dalam perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Sepanyol di Stadium Dallas di Arlington pada 6 Julai 2026. Foto AFP

Perlawanan turut menyaksikan tumpuan diberikan kepada pertembungan antara Ronaldo dan bintang muda berusia 18 tahun, Lamine Yamal, yang dilihat sebagai simbol peralihan generasi dalam bola sepak dunia.

Sebelum sepak mula, suasana suram menyelubungi stadium apabila penghormatan diberikan kepada mendiang Diogo Jota menerusi paparan imej di skrin gergasi.

Sepanyol hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Mikel Oyarzabal, namun percubaannya tersasar. Ronaldo pula hampir meletakkan Portugal di depan, tetapi rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Unai Simón.

PEMAIN pertahanan Sepanyol #14 Aymeric Laporte dan penyerang Portugal #07 Cristiano Ronaldo berebut bola semasa perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Sepanyol di Stadium Dallas di Arlington pada 6 Julai 2026. Foto AFP

Portugal hampir memperoleh gol pendahuluan sebelum rehat apabila percubaan Nuno Mendes terkena palang selepas terkena tandukan pertahanan Sepanyol, Pedro Porro.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Merino muncul penyelamat Sepanyol dengan penyudah tenang pada masa kecederaan untuk memastikan Portugal tersingkir, sekali gus menutup tirai karier Piala Dunia Ronaldo dengan kekalahan. – AFP

Continue Reading

Previous: Trump dakwa tidak minta FIFA batalkan hukuman Balogun
Next: Air mata iringi berakhirnya impian Piala Dunia Ronaldo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.