MIRI: Sebuah terminal bas baharu dirancang untuk dibina di bandar raya ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, lokasi terminal bas baharu ini telah dikenal pasti iaitu terletak di Jalan Cahaya dan Jalan Miri-Bypass.
“Hari ini, saya ingin memohon persetujuan daripada Ketua Menteri
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk membina sebuah pusat terminal bas baharu.
“Sebuah tapak telah dikenal pasti untuk terminal bas baharu ini yang mana terletak di Jalan Cahaya dan Miri-Bypass,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Miri Bandaraya Pintar yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis sama, Abang Johari turut merasmikan Bas Pintar dan Trak Pintar yang merupakan antara inisiatif di bawah Miri Bandar Pintar.
Sementara itu, Lee mendedahkan bahawa program tambang bas kadar RM1 mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai apabila seramai lebih 1.5 juta penumpang dari Kuching, Sibu, Sarikei dan Miri direkodkan kurang setahun pelaksanaan program ini.
“Jumlah penumpang di negeri ini iaitu Kuching, Sibu, Sarikei dan Miri telah meningkat iaitu dari 12,657 pada Mei 2020 menjadi jumlah kumulatif 1,577,415 penumpang pada Februari 2021.
“Begitu juga untuk di Miri, seramai 7,823 penumpang direkod pada Mei 2020 dan meningkat kepada 517,344 penumpang pada Februari 2021,” katanya.
Beliau berkata, selain membantu meringankan beban kewangan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,program tambang bas kadar RM1 telah membantu menghidupkan semula perkhidmatan bas dan mengurangkan kesesakan di beberapa jalan utama.
“Oleh kerana program ini diterima dengan baik oleh orang ramai, penambahbaikan juga diperlukan pada infrastruktur pengangkutan bas yang berkaitan seperti tempat perhentian bas, laluan penjalan kaki yang lebih luas dan pemasangan kamera litar tertutup di sepanjang koridor bas.
“Ini adalah untuk terus menarik orang ramai untuk menggunakan pengangkutan bas sebagai mod alternatif pengangkutan awam pilihan,” katanya.
Dalam hal itu, katanya, kementerian beliau akan bekerjasama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan agensi lain untuk melaksanakan projek penambahbaikan itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi negeri.
Oleh LIONG CHAI LING