
KUALA LUMPUR: Seramai 554 individu ditahan dalam 422 serbuan Op Soga XI di seluruh negara dalam operasi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian terdiri daripada 508 lelaki dan 46 wanita dengan 341 daripadanya warga tempatan, manakala 213 lagi warga asing.
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM167,062.09 serta mengesan nilai pertaruhan berjumlah RM3.24 juta sepanjang operasi berkenaan.
“Sepanjang tempoh operasi ini berlangsung, sebanyak 422 serbuan telah dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi berkepentingan terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
M.Kumar berkata operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemantauan aktiviti promosi dan pengiklanan perjudian menerusi laman sesawang serta platform media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana bertaruh di rumah pertaruhan terbuka atau dengan pengutip pertaruhan; Seksyen 6(3) akta sama terhadap individu bertindak sebagai pengutip pertaruhan serta Seksyen 4(1)(c) kerana menjaga, mengurus atau membantu menguruskan tempat pertaruhan.
M.Kumar berkata kesalahan mempromosikan atau mengiklankan aktiviti perjudian pula disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 manakala warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkepentingan, selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini.
Op Soga XI dilaksanakan seiring kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 20 Julai ini.– Bernama