Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • ‘Ini permainan kami, bukan mereka’: Klopp kecam keputusan FIFA terhadap Balogun
  • SUKAN

‘Ini permainan kami, bukan mereka’: Klopp kecam keputusan FIFA terhadap Balogun

Utusan Sarawak 4 hours ago
JURULATIH Jerman, Jürgen Klopp, hadir menyaksikan perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 antara Brazil dan Norway di Stadium New York/New Jersey. Foto AFP

BERLIN, Jerman: Bekas pengurus Liverpool, Jürgen Klopp,hari ini mengkritik keputusan FIFA membatalkan penggantungan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, yang dilaporkan dibuat selepas campur tangan Presiden AS, Donald Trump.

Balogun sepatutnya terlepas aksi pusingan 16 terbaik menentang Belgium selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan terdahulu, namun pihak FIFA menangguhkan hukuman itu selama setahun sekali gus membolehkan penyerang berkenaan diturunkan.

Sumber memberitahu AFP bahawa Trump sendiri menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta hukuman terhadap Balogun disemak semula.

Klopp, yang bakal mengambil alih jawatan ketua jurulatih Jerman susulan peletakan jawatan Julian Nagelsmann, menyelar keputusan tersebut.

“Ia kad merah. Walaupun sayang kerana Balogun tidak boleh bermain, itulah peraturannya.

“Ini permainan kami, bukan mereka… Jika benar Trump dan Infantino menyelesaikan perkara ini sesama mereka, itu sesuatu yang gila. Ia menimbulkan persoalan terhadap segala-galanya.

“Dua individu ini, yang langsung tidak tahu mengenai bola sepak, tidak sepatutnya campur tangan,” kata Klopp yang berusia 59 tahun.

Balogun, 25, dilayangkan kad merah terus selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau memijak kaki pertahanan Bosnia-Herzegovina ketika AS menang 2-0 pada pusingan 32 terbaik.

Peraturan FIFA menetapkan kad merah secara automatik membawa hukuman penggantungan satu perlawanan dan tidak boleh dirayu.

Bagaimanapun, satu peruntukan dalam statut FIFA membenarkan badan induk itu “menggantung sepenuhnya atau sebahagian pelaksanaan tindakan disiplin”, yang pada asasnya membolehkan keputusan pengadil diketepikan.

Peraturan yang sebelum ini kurang diketahui itu turut menjadi asas pembatalan penggantungan tiga perlawanan terhadap Cristiano Ronaldo menjelang kejohanan, sekali gus membolehkan bintang Portugal itu beraksi dalam dua perlawanan pertama pasukannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf, menuntut penjelasan daripada FIFA sambil menyifatkan keputusan itu menjejaskan kredibiliti kejohanan.

“FIFA perlu segera menjelaskan laporan bahawa keputusan menggantung hukuman kad merah terhadap pemain Amerika, Folarin Balogun, didahului oleh panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump, dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Tanggapan bahawa wujud campur tangan politik secara aktif dalam sukan ini perlu disangkal dengan segera dan secara tuntas. Ia melibatkan integriti pertandingan serta kredibiliti FIFA,” katanya kepada SID, anak syarikat AFP.

Trump, penerima sulung Anugerah Keamanan FIFA yang baharu diperkenalkan menjelang kejohanan, memuji keputusan badan induk bola sepak dunia itu menerusi media sosial.

“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar!” tulis Trump di platform Truth Social miliknya. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Bellingham gesa penyokong England ambil cuti raikan kemenangan ke atas Mexico
Next: Ketua bola sepak Korea Chung Mong-gyu letak jawatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.