
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dalam operasi di perairan kira-kira enam batu nautika barat laut Kuala Kemena, semalam.
Pengarah Maritim Zon Bintulu Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata penahanan itu dilakukan pada kira-kira 1.54 tengah hari menerusi Op Tiris 4.0, Op Permai 01/2019 dan Op Pukat hasil rondaan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan gagal mengemukakan Certificate of Malaysian Registry (CMR) yang sah, tidak mempunyai Surat Pelepasan Pelabuhan serta tidak dilengkapi sauh ketika beroperasi seperti yang ditetapkan.
“Bot tunda itu dikendalikan enam kru terdiri daripada dua warga Malaysia termasuk nakhoda, tiga warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.
“Kesemua kru bersama bot tunda itu ditahan sebelum diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffian berkata, tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, selain mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 bagi tindakan segera,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih