Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Isu remaja autistik dirantai: Tiada kesalahan dilakukan pusat jagaan, semua ikut prosedur – Nancy
  • SEMASA

Isu remaja autistik dirantai: Tiada kesalahan dilakukan pusat jagaan, semua ikut prosedur – Nancy

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri bercakap ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi SARORSI Kali Ke-3 Program Perantis 2026, di Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Penempatan seorang remaja autistik di sebuah institusi kebajikan yang tular selepas dikaitkan dengan dakwaan dirantai adalah dibuat mengikut prosedur undang-undang serta mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapanya.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, remaja terbabit ditempatkan di institusi berkenaan sebagai penempatan alternatif selepas ibu bapanya sendiri mengakui tidak mampu menguruskan tingkah laku agresif anak mereka.

“Sebelum penempatan dibuat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapatkan perintah mahkamah dan memaklumkan sepenuhnya kepada kedua-dua ibu bapa mengenai cabaran menguruskan remaja berkenaan.

“Kanak-kanak ini mempunyai keistimewaan yang agak sukar untuk ditangani. JKM telah mencuba membantu dengan persetujuan ibu bapanya.

“Mereka sendiri mengakui tidak mampu menjaga kerana tahap agresif yang tinggi. Oleh itu, buat masa ini dia masih ditempatkan di institusi kita sementara ibu bapanya mencari alternatif yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi SARORSI Kali Ke-3 Program Perantis 2026, di Unimas, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, keadaan remaja itu kini stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.

Beliau turut menjelaskan tindakan mengikat atau merantai remaja berkenaan dilakukan sebagai langkah keselamatan memandangkan tahap agresifnya yang sukar dikawal.

“Tindakan itu dibuat dengan persetujuan ibu bapa. Bukanlah sehingga terlalu ketat, tetapi kerana ibu bapanya sendiri tidak sanggup menjaganya disebabkan tingkah laku yang sangat agresif.

“Mengenai pusat jagaan terbabit, kementerian tidak mendapati pusat berkenaan melakukan kesalahan, sebaliknya berdepan cabaran menguruskan remaja yang mempunyai masalah tingkah laku agresif,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, JKM telah menegur pihak pusat supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan penghuni serta mendapatkan pandangan doktor dalam mengendalikan kes sedemikian.

“Pemantauan berkala akan dipertingkatkan dengan penglibatan pasukan perlindungan kanak-kanak selain menyediakan sesi kaunseling kepada keluarga dan pihak pusat jagaan.

“Kementerian turut menjalankan siasatan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada penjelasan daripada pihak pusat sebelum membuat sebarang keputusan,” ujarnya.

Beliau berharap masyarakat memahami cabaran menguruskan individu autistik yang mempunyai tingkah laku agresif serta tidak membuat kesimpulan tanpa mengetahui keseluruhan fakta sesuatu kes.

Untuk rekod, kes berkenaan menjadi tular di media sosial selepas dakwaan seorang remaja autistik dirantai di Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Kuching sehingga mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

Bagaimanapun, dokumen yang dikongsikan menunjukkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Serian pada Mei 2025 telah mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membolehkan penempatan alternatif dibuat demi kepentingan terbaik remaja berkenaan, selain menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua ibu bapanya.

Laporan psikiatri Hospital Umum Sarawak bertarikh 18 Mac 2026 pula mengesahkan remaja itu didiagnosis dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dengan ketidakupayaan intelektual dan masalah tingkah laku yang mencabar dan mempunyai sejarah beberapa kali dimasukkan ke wad psikiatri akibat tingkah laku agresif serta memerlukan pengawasan dan bantuan berterusan dalam kehidupan harian.

Laporan sama turut menyatakan keadaan remaja itu berada dalam keadaan terkawal ketika ditempatkan di pusat jagaan, namun masih memerlukan pemantauan rapi.

Sementara itu, pihak pusat jagaan itu sebelum ini turut mengeluarkan notis mengehadkan lawatan bapa kandung kepada sekali sebulan selepas mendapati lawatan yang terlalu kerap didakwa menyebabkan emosi dan tingkah laku remaja tersebut menjadi tidak stabil dan lebih agresif.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: SPRM: Kes penyamaran pegawai meningkat, orang ramai perlu berwaspada
Next: GPS belum putuskan calon PRN Sarawak – Abdul Karim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.