
MEXICO CITY: Dua jaringan Jude Bellingham membantu England yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Mexico 3-2 dalam aksi mendebarkan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Azteca, sekali gus mara ke suku akhir.
Harry Kane turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi sepakan penalti, ketika England mengatasi kekurangan seorang pemain selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Kemenangan itu menyaksikan England menempah pertemuan dengan Norway yang diketuai penyerang berbisa, Erling Haaland, di suku akhir.

Bellingham meledak dua gol dalam tempoh hanya 98 saat pada babak pertama, sekali gus menghadiahkan Mexico kekalahan ketiga sahaja daripada 90 perlawanan di Stadium Azteca.
Mexico bangkit menerusi jaringan Julián Quiñones dan Raúl Jiménez, namun gagal mengelak daripada tersingkir.
Perlawanan bermula lewat sejam berikutan ribut petir dan hujan lebat yang melanda ibu negara Mexico, namun lebih 80,000 penyokong tetap memenuhi stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan tuan rumah.
England bermula dengan baik apabila Bellingham menanduk masuk hantaran silang Bukayo Saka sebelum menggandakan kelebihan hasil lorongan Kane kurang dua minit kemudian.

Mexico merapatkan kedudukan menerusi Quiñones sebelum rehat, namun England kembali melebarkan jurang selepas Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 susulan kekasaran penjaga gol Raúl Rangel ke atas Anthony Gordon.
Sebelum itu, Quansah diperintahkan keluar padang pada minit ke-54 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati beliau melakukan terjahan berbahaya ke atas Jesús Gallardo.
Jiménez kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2 dan menghidupkan semula harapan Mexico, namun benteng England bertahan dengan cemerlang sepanjang 11 minit masa tambahan untuk memastikan kemenangan.
Kemenangan itu turut meneruskan kemaraan England ke suku akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengekalkan impian menjulang kejuaraan utama pertama mereka dalam tempoh 60 tahun. – AFP