
MIRI: Seorang wanita warga emas maut selepas tersepit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Mosjaya, di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.52 pagi itu, dua lelaki yang memandu kedua-dua kenderaan terbabit mengalami kecederaan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan. MPV berkenaan dinaiki dua individu
“Pemandunya berjaya keluar sendiri, manakala seorang penumpang wanita warga emas masih tersepit di dalam kenderaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemandu kereta berkenaan turut berjaya keluar sendiri, namun mengalami kecederaan.
Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Kedua-dua pemandu yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling