
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Erling Haaland meledak dua gol pada penghujung perlawanan untuk membawa Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama menerusi kemenangan mengejut 2-1 ke atas Brazil, sekali gus menyaksikan juara lima kali itu tersingkir seawal pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1990.
Penjaga gol Norway, Orlan Nyland, mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan sepakan penalti Bruno Guimaraes pada babak pertama sebelum Haaland meledak dua gol dalam tempoh 11 minit terakhir bagi mengejutkan Brazil di Stadium MetLife.
Neymar merapatkan jurang pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti kedua Brazil dalam perlawanan itu.
Dua jaringan Haaland menyaksikannya kini berkongsi kedudukan dengan Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol, manakala Norway bakal berdepan sama ada tuan rumah bersama, Mexico, atau England di Miami pada 5.00 pagi Sabtu ini (waktu Malaysia).
Bagi Brazil yang melantik Carlo Ancelotti dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan Piala Dunia selama 24 tahun, ini merupakan edisi keenam berturut-turut mereka disingkirkan oleh pasukan Eropah.

Kali terakhir Brazil gagal mara sekurang-kurangnya ke suku akhir ialah 36 tahun lalu apabila tewas 0-1 kepada musuh tradisi, Argentina, pada pusingan 16 terakhir.
Gabriel Martinelli, yang menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika menewaskan Jepun pada pusingan sebelumnya, diberi kepercayaan menggantikan Lucas Paqueta yang cedera sebagai satu-satunya perubahan dalam kesebelasan utama Brazil.
Norway pula menerima suntikan semangat dengan kepulangan pertahanan Borussia Dortmund, Julian Ryerson, yang kembali cergas selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan paha.
Patrick Berg menyangka beliau meletakkan Norway di depan seawal minit ketiga, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid dalam gerakan tersebut.
Selepas permulaan yang kurang meyakinkan, Brazil dihadiahkan sepakan penalti apabila Kristoffer Ajer menjatuhkan Matheus Cunha dalam kotak penalti.
Pemain Brazil berang apabila pengadil Ismail Elfath pada mulanya tidak mengendahkan rayuan mereka, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Guimaraes yang mengambil sepakan itu gagal menyempurnakannya apabila Nyland tepat membaca arah bola dan melayangkan badan ke kiri untuk menepis percubaan lemah pemain tengah Newcastle United itu.

Nyland sekali lagi menjadi penyelamat Norway apabila menepis rembatan rendah Martinelli yang melintasi pintu gol, sekali gus menghalang Guimaraes daripada menyempurnakan peluang mudah.
Apabila Martin Odegaard kehilangan bola di kawasan sendiri, Nyland sekali lagi bertindak cemerlang dengan menghulurkan kaki untuk menafikan percubaan Vinicius Junior.
Haaland yang sebelum itu bergelut memberi impak akhirnya mencipta peluang terbaik Norway sebelum rehat.
Penyerang itu memberi tekanan kepada Gabriel Magalhaes dan Marquinhos sebelum bola jatuh kepada Odegaard, namun percubaannya berjaya diselamatkan Alisson Becker.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken, memasukkan Oscar Bobb dan Andreas Schjelderup bagi menggantikan Antonio Nusa serta Alexander Sorloth pada babak kedua, namun kemasukan Endrick hampir mengubah corak permainan buat Brazil.
Vinicius melakukan hantaran menggunakan bahagian luar kaki kepada Endrick yang hanya berdepan penjaga gol, tetapi penyerang muda itu gagal menyempurnakan peluang apabila cuba melambungkan bola yang tersasar ketika Nyland pantas keluar menutup ruang.
Nyland terus mengecewakan Brazil apabila menepis rembatan deras Rayan sebelum sekali lagi melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan Guimaraes, walaupun bendera ofsaid kemudian dinaikkan.
Kemasukan Neymar pada minit ke-67 disambut sorakan gemuruh penyokong Brazil yang memenuhi stadium.

Namun Norway akhirnya memecah kebuntuan menerusi penyudah yang sememangnya dijangka daripada Haaland.
Schjelderup melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri sebelum Haaland melonjak mengatasi Gabriel untuk menanduk bola tepat ke penjuru gawang.
Ketika Brazil berusaha mencari gol penyamaan, Nyland sekali lagi mempamerkan ketangkasan apabila menepis bola dengan hujung jari bagi menghalang Ajer daripada tertanduk bola ke gawang sendiri.

Haaland kemudian memastikan kemenangan Norway apabila melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Gol itu terbukti cukup penting apabila Neymar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-100 selepas berlaku sedikit pertelingkahan dengan Nyland susulan insiden Casemiro dikasari menggunakan siku.— AFP