Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Peruntukan RM1.7 juta bina PAWE Sri Satok perkukuh kebajikan warga emas
  • TEMPATAN

Peruntukan RM1.7 juta bina PAWE Sri Satok perkukuh kebajikan warga emas

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan cek peruntukan berjumlah RM1.76 juta kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya bagi pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok pada majlis yang berlangsung di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.7 juta kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) bagi membina bangunan baharu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok dalam usaha memperkukuh jaringan sokongan sosial kepada warga emas menjelang Sarawak menjadi negeri berpenduduk menua.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan PAWE itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk warga emas berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti, malah menjadi sebahagian daripada persediaan kerajaan negeri menghadapi perubahan demografi menjelang 2027.

“Kita mendirikan pusat kebajikan khas untuk kegunaan warga emas supaya mereka boleh berhimpun, bertukar-tukar pandangan dan menjalankan pelbagai aktiviti.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Dana kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya bagi pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, Petra Jaya, hari ini.

“Kita juga telah memperoleh sebidang tanah bersebelahan pusat ini yang akan dibangunkan sebagai pusat khusus untuk warga emas di Satok dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Dana kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya bagi pembinaan PAWE Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak dijangka berdepan fenomena penduduk menua mulai tahun depan, justeru penyediaan pusat aktiviti seperti PAWE merupakan antara mekanisme penting bagi memastikan golongan warga emas terus menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan produktif.

“Satu-satunya sokongan sosial kita ialah mewujudkan pusat kebajikan untuk warga emas. Sebab itu kita menyediakan kemudahan seperti ini,” katanya.

Abang Johari turut memaklumkan sebuah lagi pusat kebajikan seumpamanya akan dibina di kawasan Samariang, Petra Jaya bagi memperluaskan kemudahan kepada warga emas di kawasan tersebut.

Beliau berkata, usaha membangunkan PAWE turut selari dengan dasar kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada penyediaan lebih banyak kawasan riadah dan ruang hijau bagi menggalakkan interaksi sosial serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meninjau kawasan yang akan dibangunkan sebagai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok pada majlis Penyerahan Dana kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, Petra Jaya, hari ini.

“Kita mahu membina lebih banyak kawasan riadah yang hijau dengan pelbagai kemudahan supaya masyarakat dapat berkumpul dan menjalankan aktiviti rekreasi.

“Di antara Kuching dan Samarahan, kita telah mengenal pasti kawasan seluas 243 hektar yang akan dibangunkan sebagai taman hijau berkonsepkan seperti Hyde Park di London dan ia juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan,” katanya.

Terdahulu, PKPJ menerima cek bernilai RM1.7 juta bagi membina bangunan baharu PAWE Sri Satok di atas tanah berkeluasan 2,137 meter persegi yang diperoleh bersebelahan Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani.

PAWE Sri Satok yang kini mempunyai kira-kira 190 ahli bertujuan meningkatkan kualiti hidup warga emas melalui konsep penuaan aktif dan produktif, selain menjadi pusat komuniti untuk mereka bersosial, berinteraksi dan menyertai pelbagai program kebajikan.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: AirBorneo dijangka tawar tambang ‘sukar ditandingi’
Next: Kerajaan Sarawak perkukuh infrastruktur, pertanian dan pelancongan di Bukit Saban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.