
TOKYO: Jepun hari ini mengumumkan draf perintah Kabinet untuk menaikkan yuran bagi pertukaran dan pembaharuan status pemastautin warga asing sehingga 75,000 yen (sekitar AS$466) berbanding 6,000 yen pada masa ini, lapor Xinhua.
Menurut draf yang dikeluarkan oleh Agensi Perkhidmatan Imigresen, yuran baharu bagi warga asing yang menukar status residensi sementara dan melanjutkan tempoh tinggal mereka akan ditetapkan antara 10,000 hingga 75,000 yen, bergantung kepada tempoh penginapan.
Yuran pembaharuan semasa ditetapkan pada 6,000 yen untuk permohonan secara bersemuka, tanpa mengira tempoh penginapan.
Sementara itu, yuran untuk mendapatkan status pemastautin tetap (PR) akan dinaikkan kepada 200,000 yen daripada 10,000 yen.
Kenaikan yuran itu dijangka berkuat kuasa pada Oktober ini selepas tempoh maklum balas awam yang bermula pada Jumaat, menurut agensi berkenaan.
Semakan terbaharu itu mencetuskan kritikan hebat daripada pemastautin warga asing, ahli politik pembangkang dan aktivis masyarakat sivil, yang berhujah bahawa lonjakan yuran yang besar itu memberi beban kewangan yang berat kepada isi rumah warga asing tanpa menyediakan sokongan integrasi atau kelangsungan hidup yang lebih baik. – Bernama