
KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) sekali lagi mencatat sejarah dalam bidang penjagaan kardiovaskular apabila berjaya melaksanakan prosedur transradial renal denervation (RDN) pertama di Asia Tenggara menggunakan Sistem Iberis® RDN.
Sistem Iberis® RDN ialah sistem renal denervation berbilang elektrod, yang direka untuk menyalurkan tenaga frekuensi radio kepada saraf simpatetik renal dan keupayaan akses itu membolehkan prosedur dilakukan melalui arteri radial pada pergelangan tangan, sebagai alternatif kepada kaedah konvensional yang menggunakan arteri femoral di pangkal paha.
IJN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa prosedur bersejarah itu diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi IJN Datuk Seri Dr Azhari Rosman bersama-sama Pakar Perunding Kardiologi Dr Thum Chan Ho, ke atas seorang pesakit berusia 35 tahun yang menghidap resistant hypertension, iaitu keadaan tekanan darah yang kekal tidak terkawal, walaupun menerima terapi pelbagai ubat pada tahap optimum.
“Renal denervation ialah prosedur invasif minimum, yang menyasarkan saraf pada sekitar arteri renal, yang memainkan peranan dalam mengawal tekanan darah. Dengan mengurangkan isyarat saraf simpatetik yang terlalu aktif ke buah pinggang, prosedur ini berpotensi membantu menurunkan tekanan darah dalam kalangan pesakit resistant hypertension yang dipilih dengan teliti.
“Berbeza dengan pendekatan femoral konvensional, teknik transradial berpotensi meningkatkan keselesaan pesakit, membolehkan mobilisasi lebih awal serta mengurangkan komplikasi berkaitan akses vaskular bagi pesakit yang sesuai. Sistem ini juga dilengkapi ciri seperti kawalan elektrod secara bebas, pemantauan suhu dan impedans secara berterusan serta mekanisme keselamatan automatik bagi menyokong keselamatan prosedur,” menurut kenyataan itu.
Dr Azhari berkata kejayaan penggunaan pendekatan transradial itu, merupakan satu kemajuan penting dalam terapi renal denervation bagi pesakit terpilih yang menghidap resistant hypertension.
“Resistant hypertension kekal sebagai keadaan yang kompleks dan memerlukan penilaian yang teliti serta pendekatan rawatan yang diperibadikan. Renal denervation menawarkan satu lagi pilihan rawatan kepada pesakit terpilih yang tekanan darah mereka masih tidak terkawal walaupun telah menerima terapi ubat yang optimum.
“Dengan melaksanakan prosedur melalui arteri radial, kami dapat menawarkan laluan akses yang kurang invasif, sekali gus berpotensi meningkatkan keselesaan pesakit dan membolehkan mobilisasi lebih awal. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan IJN untuk membawa pilihan rawatan moden berasaskan bukti lebih dekat kepada pesakit yang berpotensi mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata pencapaian itu, mencerminkan komitmen berterusan IJN dalam memperkasakan penjagaan kardiovaskular, khusus menerusi inovasi dan terapi berasaskan bukti.
“Hipertensi kekal sebagai antara faktor risiko paling utama bagi penyakit kardiovaskular, manakala resistant hypertension pula boleh menjadi amat mencabar untuk dirawat. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan IJN dalam meneroka pilihan rawatan moden yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan pendekatan terapeutik tambahan selain pengambilan ubat.
“Sebagai pusat rujukan nasional, kami kekal komited untuk memperkenalkan kemajuan klinikal yang benar-benar memberi manfaat dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit, di samping memastikan rawatan tersebut dilaksanakan dengan selamat dan sesuai oleh pasukan multidisiplin yang berpengalaman,” katanya dan menambah pencapaian itu, sekali gus mengukuhkan peranan IJN sebagai pusat jantung nasional Malaysia serta peneraju serantau dalam inovasi kardiovaskular.
Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata prosedur berkenaan merupakan satu perkembangan penting dalam pengurusan resistant hypertension dan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara pasukan klinikal IJN dengan rakan industri Biosensors International Group.
“Pendekatan transradial menawarkan satu lagi pilihan dalam pelaksanaan terapi renal denervation, khususnya bagi pesakit terpilih yang sesuai menggunakan laluan akses ini. Ia mencerminkan kemajuan berterusan dalam bidang kardiologi intervensi, yang mana inovasi bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, malah turut menambah baik kaedah pelaksanaan prosedur demi manfaat pesakit.
“Kami merakamkan penghargaan kepada pasukan multidisiplin yang berdedikasi serta Biosensors International Group atas sokongan mereka dalam merealisasikan pencapaian ini. Kejayaan seperti ini amat penting dalam usaha kami terus memperkukuh keupayaan IJN, menguruskan penyakit kardiovaskular yang kompleks, termasuk penyakit jantung berkaitan hipertensi,” katanya.
Menurut kenyataan itu IJN kekal komited untuk memperkasakan penjagaan kardiovaskular menerusi kecemerlangan klinikal, inovasi dan kerjasama strategik, di samping terus meningkatkan standard rawatan untuk pesakit di Malaysia serta rantau ini. – Bernama