
TORONTO, Kanada: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, menyifatkan penggunaan Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR) telah “meragut kegembiraan bola sepak” selepas gol penyamaan pasukannya pada masa kecederaan dibatalkan ketika Croatia tewas 2-1 kepada Portugal dalam aksi Piala Dunia, pada perlawanan 7.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Pemain Croatia menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Josko Gvardiol pada minit ke-13 masa kecederaan di Toronto.
Bagaimanapun, VAR membatalkan jaringan tersebut selepas cip yang dipasang pada bola perlawanan mengesan sentuhan kecil bola pada penyerang Croatia, Igor Matanovic, ketika Mario Pasalic berada dalam kedudukan ofsaid dalam pembentukan gerakan yang membawa kepada gol tersebut.
Ketika ditanya sama ada teknologi dan keputusan VAR telah melampaui batas dalam bola sepak, Dalic secara umum bersetuju.

“Anda dapat melihat sendiri bagaimana emosi benar-benar terpadam, dan keputusan seperti ini membuatkan anda hilang semangat serta meragut kegembiraan bola sepak,” kata Dalic pada sidang media menerusi jurubahasa FIFA.
“Saya tidak mengatakan VAR tidak membantu dalam keadaan tertentu, tetapi ia mematikan emosi, memadamkan segala-galanya yang anda rasakan, dan bukan mudah untuk menerima semua ini.”
Teknologi bola bersambung (connected ball) yang digunakan untuk membatalkan jaringan Gvardiol itu pernah digunakan sebelum ini dalam kejohanan ini, ketika perlawanan peringkat kumpulan antara Sweden dan Tunisia bulan lalu.
Dalam perlawanan tersebut, gol Mattias Svanberg pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan itu kemudian dibatalkan oleh VAR selepas teknologi mengesan bola terlebih dahulu terkena rakan sepasukan, Alexander Isak, sekali gus menjadikan Svanberg berada dalam kedudukan sah.
Sementara itu, jurulatih Portugal, Roberto Martinez, menegaskan tiada sebarang pertikaian mengenai keputusan membatalkan jaringan Croatia.
“Penjelasannya sangat jelas. Bola kini dilengkapi cip dan sebab itulah VAR campur tangan,” katanya.
“Tiada unsur subjektif. Cip pada bola menunjukkan terdapat sentuhan daripada Matanovic dan ketika itu Pasalic berada dalam kedudukan ofsaid.
“Memang menyedihkan apabila salah satu pasukan terpaksa tewas hari ini, tetapi tiada keputusan yang salah atau malang. Keputusan itu jelas dan teknologi telah membantu. Kami bernasib baik dalam situasi itu, namun ia merupakan keputusan yang tepat,” katanya. – AFP