Jurulatih Cape Verde, Bubista, menyifatkan pertemuan menentang Argentina sebagai “perlawanan sepanjang hayat kami”. Foto AFP
MIAMI: Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista, menyifatkan pertembungan menentang Argentina yang diketuai Lionel Messi sebagai “perlawanan sepanjang hayat kami”, namun menegaskan pasukannya tidak gentar berdepan juara bertahan Piala Dunia itu dalam aksi pusingan 32 terbaik pada 6.00 pagi esok (waktu Malaysia).
Negara kepulauan di Afrika yang mempunyai lebih 500,000 penduduk itu berjaya mara ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia selepas seri dengan Sepanyol, Uruguay dan Maghribi pada peringkat kumpulan.
“Kami tenang kerana kami layak berada di sini atas kemampuan sendiri dan tiada apa yang perlu ditakuti atau terlalu dibimbangkan,” kata Bubista pada sidang media pra-perlawanan.
“Kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Ia adalah perlawanan sepanjang hayat kami, tetapi kami akan menikmatinya dan memberikan yang terbaik.”

Argentina muncul antara pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan dan memburu gelaran Piala Dunia keempat selepas Messi meledak enam gol dalam tiga kemenangan meyakinkan di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, Bubista menegaskan anak buahnya tidak akan gentar berdepan pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu serta pasukan yang kini menduduki ranking nombor satu dunia.
“Tiada perkara lain dalam fikiran kami selain cuba melepasi pusingan ini,” katanya. – AFP