
SETIAP detik kehidupan yang kita lalui, termasuk setiap hela nafas merupakan kurniaan dari Allah SWT. Bahkan, setiap nafas yang masih dikurniakan bukan sekadar tanda seseorang itu masih hidup, malah merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Namun begitu, berapa ramai manusia yang menyalahgunakan nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga melupakan Allah SWT. Ramai manusia yang menyedari nilai nafas apabila ditimpa sakit atau hampir kehilangannya.
Kebanyakannya, pada saat itulah baru mereka menyedari kesilapan diri sendiri atau merasakan diri sering melakukan dosa. Ketika sakit atau dalam keadaan senang, seringkali manusia melupakan Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran: “Dan Dia memberikan kepada kamu sebahagian daripada segala apa yang kamu hajati. Dan sekiranya kamu mengjhitung nikmat Allah SWT, nescaya kamu tidak akan mampu menentukan bilangannya. sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat tidak bersyukur.” (Surah Ibrahim: 34)
Demikian itu, manusia yang menyedari bahawa setiap nafas ialah amanah, akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan, menjaga akhlaknya ketika bergaul, menahan dirinya daripada kezaliman serta berusaha memperbanyakkan amal soleh.
Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.” (Riwayat Tirmizi)
Dalam kehidupan moden ini, manusia sering disibukkan dengan pekerjaan, media sosial dan pelbagai urusan dunia sehingga terlupa mengingati Allah SWT. Ada yang menghabiskan berjam-jam melayari telefon pintar, tetapi hanya beberapa minit diperuntukkan untuk membaca al-Quran. Keadaan ini menggambarkan betapa mudahnya manusia untuk mensia-siakan amanah yang dikurniakan Allah SWT.
MEMPERBANYAKKAN MELAKUKAN AMAL IBADAH
Dengan kelebihan akal yang sempurna, sewajarnya anugerah tersebut dimanfaatkan ke arah kebaikan serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara maksiat.
Manusia diberikan pilihan untuk menggunakan kehidupannya ke arah kebaikkan atau sebaliknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda mu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat Hakim dan Baihaqi)
Manusia diciptakan dengan begitu sempurna. Bahkan manusia sememangnya mengetahui perbezaan diantara kebaikan dan kejahatan kerana itulah fitrah dan kelebihan akal yang diberikan Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.’ (Surah asy-Syams: 7-8)
Oleh itu, sebagai orang beriman, setiap sedutan nafas seharusnya dihidupkan dengan zikir kepada Allah SWT. Nafas yang diiringi dengan zikir menjadikan hati sentiasa hidup dan tenang tanpa kegelisahan.
Rasulullah SAW bersabda: “Peumpamaan orang yang mengingati Allah SWT dengan orang yang tidak mengingati Allah SWT adalah seperti orang hidup dan orang mati.” (Riwayat al-Bukhari)
Kematian adalah perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan. Firman-Nya di dalam surah al-Imran ayat 185: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” Kerana itu, orang yang bijaksana sentiasa membuat persediaan sebelum tibanya hari kematian. Persediaan bukan pada harta benda, akan tetapi amal yang soleh, akhlak yang mulia dan sentiasa memohon kemaafan Allah SWT.
Kewarakkan Saidina Ali RA

SAIDINA Ali juga terkenal dengan sifat warak, qanaah, suka menangis kerana takutkan Allah SWT, cerdas dan berfikiran tajam. Beliau sentiasa memelihara pelaksanaan solat sunat baik pada malam ataupun siang. Beliau kerap melakukan solat sunat sebelum Zohor sebanyak empat rakaat yang panjang.
Ketika ditanya tentang amalannya itu, dia menjawab, “Aku melihat Rasulullah SAW melaksanakan solat seperti itu”. Di samping itu Saidina Ali juga selalu menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum Asar. Beliau berkata, “Semoga Allah SWT merahmati orang yang menunaikan solat (sunat) empat rakaat sebelum Asar”.
Saidina Ali tidak pernah meninggalkan solat Dhuha dan sering mengamalkan zikir yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadanya iaitu membaca tasbih, tahmid dan takbir seratus kali pada waktu pagi dan petang.
Saidina Ali tidak pernah meninggalkan amalan tersebut sama ada ketika dalam perjalanan atau pun ketika di rumah dan sama ada ketika sihat atau pun ketika sedang sakit.
Saidina Ali pernah berkata tentang amalannya itu bahawa, “Aku tidak pernah melewatkan amalan zikir tersebut sejak aku mendengarnya dari Rasulullah SAW kecuali pada malam terjadinya perang Siffin, di mana aku telah lupa. Setelah aku teringat pada penghujung malamnya, aku terus membaca zikir tersebut”.
Saidina Ali juga merupakan seorang yang begitu menjaga amalan pembacaan Al-Quran. Beliau berkata, “Pada pendapatku, tidak patut jika seorang yang berakal tidur tanpa membaca beberapa ayat terakhir dari surah Al Baqarah. Ayat-ayat itu merupakan harta karun yang tersimpan di bawah Arasy”.
Saidina Ali juga memiliki sifat yang sentiasa takut kepada Allah. Sebagai contoh, pada suatu hari dibawakan padanya tamar kering, beliau pun memakannya diikuti dengan minum air. Kemudian beliau memukul perutnya seraya berkata, “Siapa yang dimasukkan ke dalam neraka oleh perutnya, maka Allah akan menjauhkannya”.
Antara sebab mengapa Saidina Ali sentiasa takutkan Allah SWT ialah kerana beliau sentiasa mengingati mati. Suatu ketika, Saidina Ali menziarahi kubur bersama Kumail bin Ziyad. Ketika sampai di kawasan pekuburan beliau berkata, “Wahai ahli kubur, wahai penghuni tempat yang sepi, apa khabar kalian? Adapun khabar dari kami kepada kalian ialah harta kalian telah dibahagikan, anak-anak kalian telah menjadi yatim, pasangan telah berkahwin lain. Inilah khabar kami. Bagaimana khabar dari kalian?”
Setelah itu, Saidina Ali menoleh kepada Kumail dan berkata, “Wahai Kumail, seandainya mereka diizinkan menjawab, mereka pasti akan berkata, “Sesungguhnya bekal terbaik adalah ketakwaan”. Kemudian Saidina Ali menangis dan terus berkata, “Wahai Kumail, kubur adalah tempat bagi amalan (tempat bergunanya amal soleh) dan saat kematian datang, engkau akan memperolehi khabar yang sebenar-benarnya”.
Di antara doa yang selalu dilafazkan oleh beliau adalah, “Aku berlindung kepadaMu dari kepayahan ujian, kemalangan yang bertimpa-timpa dan kegembiraan para musuh. Aku berlindung kepadaMu dari penjara, belenggu dan cemeti. Ya Allah, sesungguhnya dosa-dosaku tidak akan memberi apa-apa kesan padaMu dan rahmatMu kepadaku tidak akan mengurangkan kemuliaanMu”.
Oleh Hanzalah Azman