
BAU: Seorang wanita berusia 23 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,110 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya telah ditipu.
Menurutnya, mangsa terlihat satu iklan pinjaman di Facebook pada 30 Jun ketika berada di rumahnya di Kampung Bogag, Bau sebelum menekan pautan yang disediakan.
“Mangsa kemudian dihubungi melalui WhatsApp oleh dua individu menggunakan nombor telefon 011-6766 6893 dan 011-6812 5178,” katanya.
Seterusnya, mangsa bersetuju untuk memohon pinjaman sebanyak RM6,000 dengan bayaran balik RM19 sebulan selama tiga tahun.
“Bagi tujuan kelulusan pinjaman, mangsa diminta membuat beberapa bayaran,” katanya.
Mohd Haide berkata, mangsa kemudian membuat tiga transaksi pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM1,110 ke akaun Bank Islam atas nama Mariati binti Dan, yang kononnya untuk pembayaran Borang J pinjaman dan caj MYSST.
“Selepas pembayaran dibuat, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,380 bagi meningkatkan skor akaun pinjaman. Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki bahawa dirinya telah ditipu dan tidak meneruskan pembayaran tersebut,” katanya.
Tambahnya, semakan mendapati akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes itu tidak mempunyai rekod terdahulu.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa telah menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 pada 30 Jun untuk membuat aduan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Connie Chieng