
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan sektor air di rantau ini apabila menjadi tuan rumah Persidangan dan Pameran Air serta Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 15 hingga 17 Julai ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata persidangan itu bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu dan teknologi, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk memperluas jaringan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, institusi akademik dan pelabur dari pelbagai negara.
Menurut beliau, BIWWEC 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi antarabangsa, lebih 2,500 pengunjung serta lebih 70 syarikat pempamer dari sekurang-kurangnya 19 negara. Penyertaan itu sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Sarawak menganjurkan acara bertaraf dunia.
Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa komited memperkukuh sektor air menerusi pelbagai inisiatif, termasuk meningkatkan infrastruktur, memperluas penggunaan teknologi digital, membangunkan kepakaran tempatan serta mengamalkan pengurusan sumber air secara lestari.
“BIWWEC bukan sahaja mempamerkan kemajuan yang dicapai Sarawak dalam sektor utiliti, malah membuka ruang kepada pertukaran idea, pemindahan teknologi dan penerokaan peluang pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada industri air,” katanya pada sidang media BIWWEC 2026 di BCCK.

Beliau berkata BIWWEC 2026 turut menjadi platform persediaan Sarawak menjelang penganjuran Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028. Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Kuching sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran persidangan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Sarawak turut meningkatkan kapasiti kemudahan persidangan menerusi pembangunan projek BCCK2 bagi memenuhi keperluan penganjuran acara berskala lebih besar pada masa hadapan.
Julaihi turut menegaskan kepentingan melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor air menerusi Program Profesional Air Muda. Menurut beliau, program itu memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai prospek kerjaya, inovasi serta perkembangan teknologi dalam industri air.
Beliau berkata pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Kuching dan Samarahan akan dijemput menyertai program itu bagi memupuk kesedaran awal tentang kepentingan pengurusan air secara lestari, di samping menyemai rasa tanggungjawab untuk memelihara sumber semula jadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias serta tetamu yang lain.