
KUCHING: Seramai 39 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 28 hingga 30 Jun.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha khas Kontinjen Sarawak bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching.
Beliau berkata, 14 suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dua di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dua di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala 20 lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 100.78 gram dadah jenis methamphetamine serta 110 biji pil Nospan dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM11,195.
Alexson berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan mengingatkan bahawa memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah ialah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng