Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerjasama Western Digital, Sarawak Energy Berhad mengukuhkan industri data dan tenaga hijau menerusi kaca substrate
  • TEMPATAN

Kerjasama Western Digital, Sarawak Energy Berhad mengukuhkan industri data dan tenaga hijau menerusi kaca substrate

Utusan Sarawak 11 hours ago
 DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran perjanjian Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili (empat dari kiri) dan Naib Presiden Kanan Operasi Global Western Digital, Dr Chandramogan Anamirtham pada majlis pelancaran Loji 2 Western Digital Sarawak di Sama Jaya, Kuching.

KUCHING: Kerjasama strategik antara Western Digital dan Sarawak Energy Berhad (SEB) terus mengukuhkan ekosistem tenaga hijau Sarawak serta mempercepatkan pembangunan industri data global menerusi pengenalan teknologi kaca substrate, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sinergi antara kedua-dua pihak itu menjadi faktor penting dalam memastikan operasi industri berteknologi tinggi dapat dijalankan secara mampan dengan sokongan bekalan tenaga boleh diperbaharui yang stabil.

Katanya, SEB memainkan peranan utama dalam menyediakan tenaga hijau yang menjadi asas kepada pembangunan industri digital dan pusat data moden di Sarawak, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa.

Menurutnya, kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui serta bekalan air yang mencukupi menjadikan negeri ini lokasi strategik bagi pembangunan industri penyimpanan data generasi baharu, termasuk teknologi kaca substrate yang diperkenalkan Western Digital.

“Teknologi ini merupakan antara yang terbaharu dalam dunia penyimpanan data. Ia menggunakan kaca substrate yang mampu menyimpan data dalam keadaan suhu tinggi serta memenuhi keperluan teknologi pusat data masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ufuk Baharu bagi Loji 2 Western Digital Sarawak di Sama Jaya, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, perkembangan teknologi kaca substrate dijangka menjadi pemacu utama ekonomi masa depan berikutan peningkatan permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan serta pusat data.

Katanya, sektor data kini semakin berkembang pesat dan berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu yang lebih bernilai berbanding industri tradisional seperti minyak dan gas.

“Pembangunan masa depan data mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada minyak. Inilah minyak untuk pembangunan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama antara Western Digital dan Sarawak Energy Berhad membuktikan keupayaan ekosistem Sarawak dalam menyediakan infrastruktur tenaga bersih yang diyakini pelabur serta menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Abang Johari turut menegaskan Sarawak kekal komited mengekalkan kedudukan sebagai negeri berstatus pelepasan karbon bersih negatif tanpa menjejaskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan melalui penggunaan tenaga lebih bersih, industri yang lebih cekap, inovasi, teknologi maju serta pengurusan sumber semula jadi secara bertanggungjawab.

“Sebab itu Sarawak terus melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, pengurusan karbon dan pembangunan industri yang mampan,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak percepat penyukatan tanah NCR demi lindungi hak pemilik
Next: Sarawak perkukuh kedudukan sebagai hab industri air menerusi BIWWEC 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.