Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak percepat penyukatan tanah NCR demi lindungi hak pemilik
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak percepat penyukatan tanah NCR demi lindungi hak pemilik

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika hadir pada majlis Penyerahan Warta Rizab Komuniti Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, kelmarin. Foto Jabatan Tanah Survei Sarawak

SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak tidak pernah memandang remeh isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sebaliknya terus memperkukuh usaha mempercepatkan proses penyukatan dan pengukuran tanah bagi memastikan hak pemilik tanah terus terpelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama penuntut tanah merupakan faktor paling penting dalam memastikan proses penyukatan tanah NCR dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, kerajaan telah meneliti serta memperkenalkan kaedah yang lebih berkesan bagi mempercepatkan proses penyukatan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu tanah adat.

“Ini adalah bukti nyata, bukan sekadar janji kosong kerajaan kerana telah mengkaji kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Warta Rizab Komuniti Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, kelmarin.

AWANG Tengah menyaksikan penyerahan dokumen hak milik tanah kepada penerima sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak mempercepatkan penyukatan dan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Foto Jabatan Tanah Survei Sarawak

Menurut beliau, selepas proses penyukatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak selesai, pemilik tanah NCR akan memiliki dokumen hak milik yang sah, sempadan tanah yang jelas serta jaminan bahawa tanah mereka tidak akan diceroboh.

Katanya, kejayaan pelaksanaan kedua-dua peringkat tersebut bergantung kepada kerjasama pemilik dan penuntut tanah NCR, selain pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang proses pengukuran dijalankan.

Pada majlis itu, Awang Tengah turut menyerahkan Warta Rizab Komuniti Bumiputera bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang, selain Surat Hak Milik Tanah bagi DUN Lingga, Bukit Begunan dan Simanggang.

Beliau berkata, dari 2010 hingga 31 Mei 2026, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya melaksanakan penyukatan perimeter melibatkan kira-kira 1.238 juta hektar tanah di seluruh negeri.

Daripada keluasan itu, sebanyak 966,938 hektar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, manakala 111,166 lot individu melibatkan kawasan seluas 133,140 hektar berjaya diukur.

Sebanyak 37,221 lot pula telah dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 membabitkan keluasan 52,667 hektar.

Awang Tengah turut menegaskan dakwaan bahawa kerajaan Sarawak merampas tanah melalui proses pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak adalah tidak benar.

Sebaliknya, langkah tersebut dilaksanakan bagi melindungi tanah yang diiktiraf, memastikan pengurusan yang lebih tersusun serta menjamin kepentingan pemilik tanah NCR dan generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Sarawak sambut baik hasrat tambah bayaran interim khas, faham kekangan kewangan Persekutuan
Next: Kerjasama Western Digital, Sarawak Energy Berhad mengukuhkan industri data dan tenaga hijau menerusi kaca substrate

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.