Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Amerika Syarikat mara 16 terbaik selepas tewaskan Bosnia dalam aksi penuh drama
  • SUKAN

Amerika Syarikat mara 16 terbaik selepas tewaskan Bosnia dalam aksi penuh drama

Utusan Sarawak 5 hours ago
CHRIS Richards #3 dan Timothy Weah #21 dari Amerika Syarikat meraikan kemenangan selepas perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 pusingan 32 antara Amerika Syarikat dan Bosnia-Herzegovina. Foto AFP

SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Folarin Balogun menjaringkan gol sebelum dilayangkan kad merah ketika Amerika Syarikat menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia sebentar tadi.

Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung tuan rumah bersama dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak hampir suku abad, dan hanya kemenangan kedua mereka di peringkat itu, sekali gus menempah pertemuan menentang Belgium di Seattle pada pagi Selasa (waktu Malaysia).

Gol Balogun pada saat akhir separuh masa pertama mencetuskan suasana euforia dalam kalangan penonton di California, dengan kira-kira 30 juta rakyat Amerika dijangka menyaksikan pertembungan berkenaan di seluruh negara.

Bagaimanapun, penyerang itu dilayangkan kad merah selepas semakan VAR susulan insiden kekasaran terhadap pemain Bosnia, Tarik Muharemovic. Walaupun Amerika Syarikat terpaksa bermain dengan 10 pemain, Malik Tillman menambah jaringan menerusi sepakan percuma untuk memastikan kemenangan.

Penyokong tuan rumah memenuhi stadium di kawasan Teluk San Francisco dalam suasana penuh meriah, dengan keyakinan mereka jelas tergambar menerusi tradisi lintasan jet pejuang sebelum perlawanan di langit cerah California.

Taktik Bosnia jelas sejak sepak mula apabila mereka kerap melakukan hantaran jauh, manakala pertahanan Amerika Syarikat kekal tinggi di garisan tengah dan terus menekan.

Namun Bosnia memiliki beberapa peluang awal terbaik. Kapten berusia 40 tahun, Edin Dzeko mengawal bola hantaran penjaga gol sebelum mengumpannya kepada Ermedin Demirovic, yang rembatannya tepat ke arah Matt Freese.

Penjaga gol AS itu turut melakukan satu lagi penyelamatan penting beberapa minit kemudian daripada sepakan sudut Kerim Alajbegovic yang hampir terus menerjah gawang.

Amerika Syarikat kemudian mula menguasai permainan. Balogun hampir memperoleh penalti selepas diasak Amar Dedic, namun tidak diberikan. Tidak lama kemudian, beliau menjaringkan gol tetapi dibatalkan kerana ofsaid hasil hantaran Weston McKennie.

Peluang-peluang itu menaikkan debaran penyokong tuan rumah sebelum Balogun akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-45.

Kapten AS, Tim Ream memintas sepakan gol Bosnia sebelum menghantar bola kepada Malik Tillman. Hantaran lorongnya terkena pertahanan sebelum jatuh kepada Balogun yang tenang menolak masuk bola melepasi penjaga gol.

Gelandang bertahan, Tyler Adams hampir mencipta gol kedua sebelum rehat apabila beliau menemui Sergino Dest, yang menghantar semula kepada Balogun. Namun rembatan dari jarak dekat terkena palang.

– Kemenangan bersejarah –

Seawal lima minit babak kedua, Dzeko terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Jurulatih Bosnia, Sergej Barbarez kemudian melakukan tiga pertukaran.

Barisan hadapan baharu Bosnia yang lebih muda dan pantas, termasuk Esmir Bajraktarevic yang dibesarkan di Amerika Syarikat, mula memberi tekanan lebih tinggi.

PENGADIL Raphael Claus melayangkan kad merah kepada Folarin Balogun #20 dari Amerika Syarikat kerana melakukan kekasaran terhadap Tarik Muharemovic #4 dari Bosnia-Herzegovina semasa perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 pusingan 32 antara Amerika Syarikat dan Bosnia-Herzegovina. Foto AFP

Pada minit ke-64, Balogun dilayangkan kad merah terus selepas semakan VAR kerana didakwa memijak kaki Muharemovic.

Insiden itu mengejutkan penonton, namun Demirovic mensia-siakan peluang untuk menambah gol apabila rembatannya mudah diselamatkan Freese.

Jurulatih AS, Mauricio Pochettino menggunakan rehat minuman untuk mengumpulkan pemainnya dan memberi arahan bagi mempertahankan kelebihan.

Walaupun bermain dengan 10 pemain, Christian Pulisic sempat menjaringkan gol, namun jelas berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada minit ke-82, AS memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti selepas Dest dijatuhkan. Tillman melengkungkan sepakan melepasi benteng dan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj gagal menghalangnya.

Amerika Syarikat bertahan dalam 10 minit masa kecederaan yang mendebarkan apabila percubaan Ermin Mahmic tersasar tipis.

Namun mereka berjaya mengekalkan keputusan dan mencatat kemenangan penting tanpa bolos, sekali gus meneruskan kemaraan di bumi sendiri, disambut sorakan “USA” dan lagu “Take Me Home, Country Roads” yang bergema di stadium gergasi itu yang turut menjadi venue Super Bowl tahun ini. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: England tidak pernah hilang keyakinan – Thomas Tuchel
Next: Messi kembali ‘pulang’ pimpin misi Argentina pertahan gelaran di Miami

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.