
BINTULU: Orang ramai di Bintulu diseru tampil menyertai Kempen Derma Darah yang akan diadakan di Pusat Beli-Belah Mega Times Square Bintulu pada 4 Julai sebagai usaha membantu menambah bekalan darah di Hospital Bintulu.
Kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Hospital Bintulu itu akan berlangsung dari 9.30 pagi hingga 2.30 petang di pusat beli-belah berkenaan.
Penganjur memaklumkan bahawa setiap pendermaan darah berpotensi menyelamatkan banyak nyawa, selain memastikan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan dan pemindahan darah menerima bekalan darah yang mencukupi.
Sehubungan itu, orang ramai, sama ada penderma baharu mahupun penderma tetap, digalakkan meluangkan sedikit masa untuk menyertai kempen tersebut sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kemanusiaan dan komuniti.
Kempen ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala bagi memastikan bekalan darah di Hospital Bintulu sentiasa berada pada tahap mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit.
Oleh Faizah Muzidi