
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak membuka penyertaan bagi Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026, iaitu pertandingan debat antara institusi pengajian tinggi yang bertujuan melahirkan generasi muda yang berfikiran kritis, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Mengangkat tema ‘Memperkasa Minda, Memajukan Sarawak’, pertandingan itu diperkenalkan sebagai platform pembangunan intelektual dan kepimpinan dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, komunikasi strategik, pemikiran analitikal serta literasi dasar awam dalam kalangan mahasiswa.
Menurut kenyataan media AZAM Sarawak, penganjuran PSDC 2026 adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara pemacu utama kemajuan Sarawak.
Pertandingan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000, selain Piala Premier Sarawak, piala iringan, pingat dan sijil kepada pasukan yang berjaya.
Bagi edisi sulung, pertandingan itu akan dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris menggunakan format Debat Parlimen Asia, iaitu format yang digunakan secara meluas dalam pertandingan debat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pendekatan tersebut bertujuan memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa, di samping membina keyakinan mereka untuk berhujah dan berkomunikasi dalam persekitaran akademik serta profesional.
Penyertaan dibuka kepada 16 pasukan yang mewakili universiti awam, universiti swasta dan institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.
Pemilihan akan dibuat berdasarkan urutan pendaftaran, dengan keutamaan diberikan kepada pasukan yang mendaftar lebih awal. Pendaftaran akan ditutup sebaik sahaja kuota penyertaan dipenuhi.
Sepanjang pertandingan, peserta akan membahaskan pelbagai usul berkaitan pembangunan Sarawak, termasuk pendidikan, ekonomi, teknologi, inovasi, tenaga hijau, pembangunan mampan, pengangkutan awam, kebajikan rakyat serta dasar dan inisiatif kerajaan Sarawak.
Menurut AZAM Sarawak, PSDC 2026 bukan sekadar pertandingan debat, malah menjadi platform untuk membentuk mahasiswa yang memiliki kemahiran berfikir secara kritis, berhujah secara profesional, berkomunikasi dengan berkesan, bekerja secara berpasukan serta mampu mengemukakan penyelesaian yang konstruktif terhadap isu pembangunan negeri.
Penganjuran itu juga diharapkan dapat memperkukuh budaya wacana intelektual, selain menggalakkan penglibatan belia dalam memahami dasar dan agenda pembangunan Sarawak.
Melalui pertandingan tersebut, kerajaan Sarawak dan AZAM Sarawak turut berhasrat memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat serta rakan strategik dalam membangunkan ekosistem kepimpinan belia yang lebih progresif dan berdaya saing.
Pendaftaran kini dibuka dan akan ditutup pada 30 Julai 2026. Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan, kaedah pendaftaran serta jadual pertandingan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi PSDC dan platform media sosial rasmi AZAM Sarawak.